Calon MUDA N.44 Larkin, Rasid Abu Bakar bercakap kepada media mengenai dakwaan dan laporan polis terhadap MUDA di Bilik Gerakan MUDA N.44 Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Bilik gerakan kempen Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di bangunan milik Perbadanan Islam Johor (PIJ) telah disewa daripada seorang usahawan yang memiliki premis tersebut selama setahun.

Sehubungan itu, calon MUDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin Rasid Abu Bakar, 28, sekeras-kerasnya menafikan laporan polis terhadap mereka yang didakwa telah menyalahgunakan premis yang dibina khusus untuk ‘usahawan inkubator’ kerajaan.

Menurut Rasid, MUDA Larkin telah menandatangani perjanjian penyewaan dengan pemilik secara sah bagi penggunaan ruang pejabat itu sejak 26 Februari lalu iaitu pada Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kami masuk ke premis ini pada 26 Februari dan telah menandatangani perjanjian mengatakan kami dibenarkan menggunakan premis ini.

“Kami tidak berahsia dan telah memberitahu bahawa kami adalah parti politik daripada MUDA. Ada bukti pembayaran untuk masuk ke dalam premis ini dan ada surat mengatakan MUDA dibenarkan guna pejabat ini.

“Kita boleh nampak ada pemilik dan penyewa yang menandatangi perjanjian ini. Perjanjian ditandatangani oleh ketua staf kempen MUDA DUN Larkin,” jelas Rasid.

Isu penggunaan bangunan sebagai pejabat operasi kempen MUDA Larkin menjadi kecoh di media sosial dengan satu laporan polis telah dibuat ke atas mereka kerana didakwa menyalahgunakan bangunan milik kerajaan.

Bangunan PIJ itu dibina khusus untuk membantu usahawan belia yang baru untuk memulakan perniagaaan di situ.

Bilik Gerakan MUDA N.44 Larkin di Johor Bahru, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2022.

Menurut Rasid, pihak polis telah datang ke pusat operasi mereka di bahagian bawah bangunan di Jalan Ketam, Jalan Stulang Bahru, Taman Peradanan Islam memaklumkan laporan tersebut malam tadi.

“Ini adalah dakwaan yang sangat jahat. Tak ada sebab untuk kami menceroboh. Kami bukan mengopak pintu, tingkap dan panjat bumbung untuk masuk ke dalam ini.

“Ada segala bukti dari tempoh mula berkempen sehingga kini dan banyak program telah dilakukan.

“Petugas dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan polis telah datang ke sini untuk program kami tak pernah ada masalah.

“Apa yang berlaku ini adalah politik lama yang kotor dan kami sebenarnya tidak perlu buat sidang media ini kerana ia adalah satu tindakan untuk mengacau kempen saya dan membuang masa kami bertemu rakyat,” kata Rasid dalam sidang media hari ini.

Menurut Rasid, jika penyewaan yang dilakukan secara sah itu salah dari segi undang-undang, mereka tidak ada masalah untuk keluar daripada premis tersebut.

Rasid yang juga Ketua Penerangan MUDA Johor mendakwa laporan polis tersebut dibuat oleh wakil calon Barisan Nasional DUN Larkin.-MalaysiaGazette.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast