GEORGE TOWN – Sebanyak 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang mendesak campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung isu cubaan memurtadkan tiga kanak-kanak di negeri ini yang kini berada dalam jagaan ibunya.
Jurucakap Gabungan NGO Islam Pulau Pinang (GNIPP), Ahmad Yakqub Nazri mendakwa ia ekoran daripada kenyataan terbuka daripada beberapa tokoh politik yang mahu yang mahukan tiga kanak-kanak dimurtadkan dan kembali memeluk agama Hindu.
Jelasnya, GNIPP juga mendapati kenyataan yang dikeluarkan oleh ketiga pemimpin Hindu itu dilihat seolah-olah sengaja mahu mencetus ketegangan antara penganut Hindu dan orang Islam di negara ini.
“Tindakan mereka adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab selain mampu mengganggu-gugat kestabilan dan keselamatan negara.
“Ia perlu ditangani segera dengan tegas bagi memastikan provokasi dan propaganda mereka tidak mencetus api perkauman.
“Sehubungan itu, kami mendesak Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam memanjangkan tuntutan GNIPP kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak supaya isu berkaitan cubaan memurtadkan tiga kanak-kanak itu dibawa dalam perbincangan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 50 individu yang mewakili 40 NGO Islam berarak dari Masjid Simpang Enam, Jalan Macalister ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi menyerahkan memorandum kepada Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Mereka yang hadir termasuk Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Ahmad Zakiyuddin, Fabien Sahri.
Tambah Ahmad Yakqub, mereka juga menuntut Ahmad Zakiyuddin membawa isu tersebut ke dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya pemimpin yang didakwa itu berhenti mengeluarkan kenyataan menghasut kaum Hindu yang kononnya tiga beradik itu telah dilarikan dan dipaksa memeluk agama Islam.
“Selain itu, kami juga menuntut campur tangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor dalam memastikan akidah tiga beradik tersebut terus dipertahankan melalui sessi pertemuan secara bersemuka dari semasa ke semasa untuk berbincang soal berkaitan dengan pendidikan Islam dan ibadah.
“Kita mahu tiga kanak-kanak itu terus dibimbing supaya mereka istiqamah dan bersemangat untuk kekal sebagai seorang Islam dan tidak dimurtadkan,” ujarnya.
MalaysiaGazette pada 21 Februari lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga orang kanak-kanak yang telah diislamkan tanpa kebenaran dikembalikan kepada ibu kandungnya dengan kadar serta merta.
Ketiga-tiga anak Low Siew Hong diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis walaupun sebelum ini wanita itu telah mendapat hak penjagaan penuh.
Ketiga-tiga kanak-kanak yang berusia 10 hingga 14 tahun itu telah diislamkan oleh bapanya, Nagahswaran Muniandy pada 2019 yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah. – MalaysiaGazette