Najib menyerahkan baju kemeja BN sebagai simbolik penyertaan Laili ke UMNO selepas meninggalkan Bersatu secara tergempar hari ini.

MERSING – Tindakan bekas Ketua Bahagian Bersatu Mersing melepaskan segala jawatan dalam parti itu dan kembali ke pangkuan UMNO disifatkan berita yang  memberangsangkan kepada perjuangan Barisan Nasional (BN) Johor.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan kepulangan Laili Yusof menganggapnya satu keputusan berani dan bernas.

“Bukan setakat itu sahaja, Laili juga telah membuat pengakuan akan menyokong calon-calon BN. Alhamdullillah ini merupakan satu gambaran yang sangat memberangsangkan pada kita kerana saudara Laili meninggalkan Bersatu kerana sudah hilang kepercayaan dan perjuangan parti Bersatu.

“Beliau mengambil keputusn itu atas kesedaran yang amat penting bagi kita dan semasa PRN Johor ini bahawa kita berganding bahu memastikan pada PRN kali ini kita akan mengangkat BN sebagai parti yang akan unggul.

“Saya sentiasa sebut bahawa cita-cita kita tidak lain dan tidak bukan untuk menetapkan negeri Johor sebagai negeri cemerlang.Insya Allah,” katanya dalam sidang media mengenai pengumuman penerimaan semula Laili ke pangkuan UMNO-BN di Endau hari ini.

Turut hadir ke sidang media tersebut adalah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Youzaimi Yusof.

Tambah Najib, sebagai manusia biasa, semua orang tidak boleh lari dari kekhilafan atau kesilapan.

Justeru katanya, sebagai manusia mesti mempunyai sifat kemaafan dan beliau serta rakan-rakan dalam BN mengiktiraf sesiapa yang ingn kembali ke landasan perjuangan bersama-sama dengan UMNO-BN.

“Ini akan memberi satu isyarat amat jelas kepada yang lain..dengar khabar, ada lagi mungkin, ada lagi intai nak tinggalkan parti Bersatu….kalau nak tinggalkan parti Bersatu saya serahkan kepada budi bicara Presiden UMNO juga Pengerusi BN untuk menentukan apa pilihan kalau mereka bersama-sama dengan kita.

“Mudah-mudahan ini telah meninggalkan satu kesan amat besar dalam kancah PRN dan diharap segala urusan diberkati Allah.

“Justeru ia juga mencatat satu sejarah sangat bermakna dalam perjuangan kita (BN) untuk kepentingan rakyat negeri Johor,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast