Suruhanjaya Sekuriti

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan memutuskan untuk memihak kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 bahawa Datin Chan Chui Mei, bekas Timbalan Pengarah Urusan Stone Master Corporation Bhd (Stone Master) telah melanggar undang-undang sekuriti.

Keputusan itu dibuat semalam apabila Hakim Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Gunalan a/l Muniandy, menyatakan Mahkamah Rayuan tidak mendapati sebarang kesilapan dalam dapatan hakim Mahkamah Tinggi.

Pada 2019, Mahkamah Tinggi mendapati Chan telah menyebabkan kerugian secara salah kepada Stone Master, yang melanggar seksyen 317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Chui Mei diperintahkan membayar RM11.54 juta dan penalti sivil RM1 juta kepada SC.

Ketika perbicaraan, Stone Master didapati telah membayar beberapa wakil tempatan deposit tidak boleh dikembalikan syarikat-syarikat asing berjumlah RM11.59 juta.

Bukti menunjukkan sejumlah RM11.54 juta daripada deposit itu kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Datin Chan.

Pada 28 September 2016, SC telah memperoleh injunksi sementara untuk menghalang Chan daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank peribadinya sehingga nilai RM11.54 juta. – MalaysiaGazette