GEORGE TOWN – Pulau Pinang dijangka menerima rangsangan ketara dalam pemulihan ekonomi pengangkutan dan pelancongan susulan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) Pulau Pinang-Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, pelanjutan skim VTL Malaysia-Singapura ke Pulau Pinang disambut dengan tangan terbuka, tambah pula ia dapat merancakkan ekonomi serta pelancongan negeri.
Bagaimanapun, pihaknya menggesa semua kakitangan lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pelancong yang datang supaya mematuhi semua protokol kesihatan yang diperlukan.
“Skim VTL memainkan peranan penting sebelum penyambungan semula sepenuhnya pelancongan antarabangsa kerana ia akan menjadi penanda aras bagi aktiviti pengembaraan antarabangsa masa hadapan.
“Pulau Pinang sudah lama menerapkan kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pemain industri dan orang ramai melalui kempen Pelancongan Bertanggungjawab, sekali gus memastikan aktiviti pelancongan dijalankan dengan teratur,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah Soon Hin, pihaknya sudah membuat lawatan tapak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dalam memastikan kesediaan serta memudahkan pelancaran VTL di negeri ini.
“Kami akan mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan wakil syarikat penerbangan serta kakitangan lapangan terbang bagi memastikan VTL dapat dilancarkan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui pengangkutan udara antara Singapura dan Pulau Pinang akan bermula pada 16 Mac ini.
Inisiatif VTL udara ini membolehkan pengembara yang telah divaksin sepenuhnya melakukan perjalanan ulang-alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat penerbangan yang telah ditetapkan sebagai penerbangan VTL tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan. – MalaysiaGazette