PUTRAJAYA – Graduan yang belum mendapat pekerjaan tidak perlu mendaftar permohonan pekerjaan melalui JobMatching@GREaT kerana maklumat sedia ada dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) akan dipadankan secara automatik dengan kekosongan jawatan yang ditawarkan pihak industri atau syarikat.

Menerusi kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan sekiranya graduan terbabit layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan industri atau syarikat, graduan berkenaan akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri sesi temu duga.

KPT berkata demikian bagi menjelaskan info yang tular di media sosial baru-baru ini bahawa graduan perlu mendaftar melalui JobMatching@GREaT bagi mendapatkan pekerjaan.

JobMatching@GREaT yang dilancarkan pada 28 Sept 2020 merupakan modul pemadanan pekerjaan menggunakan data SKPG bagi mengenal pasti graduan yang masih belum mendapat pekerjaan. Sistem tersebut memadankan kelulusan graduan dengan kerjaya secara automatik menggunakan kaedah tapisan multikriteria dan pemeringkatan.

Menurut KPT, sistem yang menggunakan tagline ‘Industri Jejak Graduan’ itu memudahkan pihak industri atau syarikat untuk menjejaki graduan yang belum mendapat pekerjaan tanpa perlu memohon pekerjaan seperti kebiasaan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast