KUALA LUMPUR – Tarikh pembukaan sempadan negara akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu depan.
Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pengumuman itu penting agar sektor pelancongan dapat membuat persediaan sebelum sempadan dibuka.
“Perdana Menteri akan buat pengumuman mengenai tarikh pembukaan sempadan pada minggu depan.
“Pengumuman itu penting sebab akan memberi masa sedikit kepada syarikat-syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hotel dan semua yang terlibat dengan sektor pelancongan dan sektor pengembaraan ini untuk buat persediaan yang terbaik untuk pembukaan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Dialisis kali ke-16 hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persetujuan pembukaan semula sempadan telah dicapai memandangkan ia merupakan satu keperluan untuk negara.
Sebagai rekod, Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebelum ini mengesyorkan agar kerajaan membuka semula sempadan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Febuari yang lalu berkata, langkah ini penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara terutamanya sektor perniagaan dan pelancongan yang terjejas alibat pandemik Covid-19.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai dakwaan peniaga pasar malam diwajibkan untuk mengambil dos penggalak, Khairy berkata, ia merupakan keputusan dan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
“KKM (Kementerian Kesihatan) hanya bagi nasihat tapi nasihat kita tidak sampai kena pergi ke pasar memerlukan dos penggalak.
“Keputusan itu mesti ditanya PBT, kenapa buat keputusan begitu,” tambahnya. – MalaysiaGazette