Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membuat gimik pada Majlis Perasmian NKF 16th Anuual Dialysis di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 5 MARCH 2022.

PETALING JAYA – Ubat antiviral untuk merawat Covid-19 keluaran Pfizer dijangka tiba dua minggu lagi, kata Menteri Kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata, ubat yang bakal diterima untuk peringkat perolehan pertama kelak adalah untuk kegunaan merawat 110,000 pesakit berisiko tinggi.

Kementerian Kesihatan (KKM), jelasnya, akan menambah pembelian ubat berkenaan sekiranya ia terbukti berkesan merawat virus Covid-19.

“Mungkin dalam dua minggu lagi kita akan terima ubat itu, perolehan yang pertama kita telah beli untuk 110,000 pesakit dan akan diberi kepada golongan berisiko tinggi.

“Kalau kita dapati bahawa penggunaan ubat ini berkesan seperti mana maklumat yang telah kita terima kita akan tambah pembelian ubat ini,” katanya ketika sidang media di Persidangan Dialisis Tahunan Ke-16 hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ubat antiviral iaitu Paxlovid (PF-07321332 150mg Film-Coated Tablets and Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets) telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi rawatan Covid-19.

Ujarnya, persetujuan dibuat menerusi mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 pada 3 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Khairy menambah, selain Pfizer, KKM juga berkemungkinan akan memuktamadkan perjanjian pembelian ubat antiviral dengan Molnupiravir dan AstraZeneca.

“Kita sudah muktamadkan perjanjian dengan Pfizer pada bulan lepas  untuk perolehan ini dan saya telah tandatangani perjanjian tersebut.

“Ada dua lagi yang mungkin kita akan beri iaitu daripada Molnupiravir dan AstraZeneca tapi ini belum kita muktamadkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette