TIDAK ada angin tidak ada taufan tiba-tiba bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik membuat permohonan maaf di hadapan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor beberapa hari lalu.
Permohonan maaf itu dilakukan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam tersebut berikutan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 selepas diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara.
Maszlee yang diletakkan sebagai calon oleh PKR di DUN Layang-Layang membuat permohohan maaf sambil menundukkan kepala ketika berkongsi pentas dengan presiden parti yang dianggotainya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami belajar dari kesalahan ini. Maafkan kami, kesilapan seperti ini tidak akan berulang. Masa untuk kami juga terhad sehinggalah kami dijatuhkan tanpa maruah,” ujarnya dalam permohonan maaf itu.
Mengapa ungkit kegagalan lalu?
Mengapa Maszlee tiba-tiba meminta maaf kepada pengundi? Itu yang menjadi persoalan dalam pemikiran banyak pihak.
Bagi penganalisis politik Profesor Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain, permohonan maaf tersebut mungkin disebabkan perasaan bersalah Maszlee terhadap kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji yang ditabur dalam manifesto parti itu.
Maszlee merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet Kerajaan PH di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sebagai orang yang berpendidikan Maszlee rasa bersalah kerana beliau menyedari rakyat benar-benar mengharapkan janji yang diletakkan dalam manifesto tersebut dilaksanakan dan sebab itu pengundi telah memilih PH menjadi kerajaan.
“Janji dia untuk penggundi di Simpang Renggam pun masih belum ditunaikan macam tol percuma dan sebagainya.
“Saya fikir Maszlee ini seorang calon yang terpelajar, pernah menjadi pensyarah. Mungkin beliau ada kesedaran yang tinggi,” kata Mohd. Izani ketika dihubungi oleh MalaysiaGazette.
Boleh maafkan tetapi tidak boleh melupakan
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia itu berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan bersama kumpulannya di Johor dari 5 hingga 7 Februari lalu, pengundi masih tidak boleh melupakan janji yang dibuat dalam manifesto PH pada PRU-14.
Menurut beliau, pengundi pada waktu itu benar-benar berharap dengan segala janji yang terkandung dalam manifesto parti gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu itu dilaksanakan.
Janji seperti pendidikan percuma, penghapusan PTPTN, minyak murah dan bermacam lagi telah menyebabkan pengundi memilih PH.
“Saya berpendapat tindakan Maszlee itu terpuji sebab dia telah memohon maaf atas kegagalan dia. Namun dia juga harus ingat janji Pakatan Harapan itu telah memberi impak yang besar kepada pengundi.
“Kerana disebabkan janji-janji itulah pengundi memberikan undi kepada Pakatan Harapan, memberikan sokongan sampai menang pilihan raya namun akhirnya janji-janji itu tidak ditunaikan.
“Saya boleh simpulkan pengundi boleh maafkan tetapi tidak boleh melupakan,” kata Mohd. Izani.
Paling terkesan menurut beliau adalah golongan muda yang pertama kali mengundi pada PRU-14 dan telah memilih PH.
Kumpulan ini, kata Izani tidak akan memberikan undi mereka kepada PH pada PRN Johor berikutan kegagalan parti itu menunaikan janji.
Tidak dapat baiki imej PH
Adakah permohonan maaf Maszlee dapat memperbaiki imej PH berikutan kegagalan parti tersebut menunaikan manifesto mereka dalam PRU-14? Soalan itu dilontarkan kepada Mohd. Izani.
“Saya tidak nampak ia dapat baiki imej PH, PKR. Sudah terlambat kerana masa berkempen baru mahu meminta maaf.
“Kenapa tidak (minta maaf) sebelum ini? Dalam kempen baru minta maaf. Mungkin ini hanya ibarat service lips yang mahu menyejukkan hati pengundi. Nak pujuk.
“Namun sudah terlambat nak memohon maaf. Sepatutnya lebih awal bukan semasa kempen. Mungkin masa ini mereka terdesak,” kata Mohd. Izani.
Tambah pensyarah berkenaan, jika PH ikhlas, mengapa hanya Maszlee seorang sahaja yang tampil untuk meminta maaf.
Mohd, Izani berpendapat calon-calon lain tidak akan berbuat demikian kerana hanya akan menyebabkan pengundi teringat kembali janji-janji pilihan raya yang dibuat parti itu sebelum ini.
Tiada lagi parti berani guna perkataan manifesto
‘Ketakutan’ parti-parti politik menggunakan perkataan manifesto juga dikesan selepas PRU-14 berakhir.
Tiada lagi parti yang berani menggunakan perkataan manifesto ketika membentangkan tawaran kepada rakyat dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri selepas PRU-14.
Ketakutan menggunakan perkataan tersebut berpunca daripada kegagalan PH menunaikan apa yang terkadung dalam manifesto parti itu selepas PRU-14.
“Kalau kita tengok Barisan Nasional guna perkataan ikhtiar dan Perikatan Nasional guna perkataan ikrar, malah Pakatan Harapan gunakan perkataan tawaran. Ada pula yang kata manifesto itu bukan kitab suci.
“Sudah tidak ada lagi perkataan janji sebab perkataan itu telah menjadi taboo dalam politik pilihan raya. Orang sudah tidak percaya janji politik kerana kegagalan mereka menunaikannya dalam pilihan raya yang lepas,” jelas Mohd. Izani.
Biar apapun masih terdapat beberapa hari lagi menjelang PRN Johor yang akan berlangsung pada Sabtu depan.
PH dan Maszlee masih dapat menggunakan tempoh yang berbaiki ini untuk meraih sokongan pengundi sebelum rakyat Johor membuat keputusan muktamad pada 12 Mac.
Sama ada rakyat Johor terutama pengundi DUN Layang-Layang menerima permohonan maaf Maszlee akan diketahui tidak berapa lama lagi.-MalaysiaGazette