JOHOR BAHRU – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah bersedia sepenuhnya untuk menyambut kehadiran pelancong dari luar negara sebaik pintu sempadan dibuka.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemain industri pelancongan kini hanya menunggu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dibuat dalam masa terdekat.
“Kita di pihak kementerian dan pemain industri sudah bersedia sepenuhnya menunggu detik pembukaan sempadan yang akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat.
“Kita berharap pengumuman yang dibuat itu melibatkan semua pintu sempadan di seluruh negara termasuk pintu sempadan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata selepas Majlis MOTAC Bersama Penggiat Industri dan Program Bicara Ilmu di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, mesyuarat Kabinet semalam sudah mencapai kata persetujuan dan cuma menunggu untuk diumumkan Perdana Menteri sahaja.
Perdana Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu depan.
“Jika tiada aral melintang, Perdana Menteri akan umum tarikh itu minggu depan, bukan minggu depan sempadan buka tapi pengumuman itu dibuat minggu depan.
“Pengumuman itu penting kerana ia akan beri masa sedikit kepada syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen Malaysia, industri perhotelan dan semua terlibat dalam sektor pelancongan dan pengembaraan untuk buat persediaan,” katanya selepas merasmikan NKF 16th Annual Dialysis Conference.
Sementara itu pada program tersebut, Nancy menyampaikan bantuan khas kewangan 2022 kepada 30 buah syarikat serta 10 pengusaha inap Desa. – MalaysiaGazette