Kamaruddin Jaffar

KUALA LUMPUR – Malaysia tetap komited dalam menyelesaikan isu berkaitan Laut Chin Selatan secara konstruktif.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, penyelesaian digunakan kerajaan ialah menerusi forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

“Isu berkaitan Laut China Selatan adalah isu yang kompleks berikutan tuntutan bertindih antara negara-negara di rantau ini.

“Dalam hal ini, Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu-isu ini secara konstruktif, menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

“Pendirian negara ini juga telah disuarakan secara konsisten di platform antarabangsa khususnya ASEAN,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) yang meminta kementerian itu menyatakan langkah diambil oleh Malaysia bersama dengan ASEAN untuk menangani isu Republik Rakyat China yang dikatakan selalu menceroboh atau mengganggu perairan negara khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif tanpa melibatkan kuasa luar dari rantau ini.

Menurut Kamaruddin, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan menerusi Kementerian Luar Negeri khususnya telah beberapa kali menyuarakan pendirian kepada pemimpin negara yang mempunyai kaitan dengan isu Laut China Selatan.

Kata beliau, pendirian itu disuarakan bahawa semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha mengelakkan insiden yang sama ada disengajakan atau sebaliknya di perairan berkenaan.

“Kementerian berpandangan sebarang konflik yang berlaku hanya akan meningkatkan ketegangan, sekali gus menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

“Oleh sebab itu, sebarang perbezaan dan pertikaian yang timbul perlu diselesaikan secara aman tanpa menggunakan kekerasan atau ancaman kekerasan menerusi dialog, rundingan atau Iebih tepat, jalan diplomasi,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan, negara-negara ASEAN dan China juga telah memeterai Deklarasi Tatalaku Pihak—pihak Berkepentingan di Laut China Selatan pada 4 November 2002.

Pada masa itu, katanya, negara ASEAN dan China sedang merundingkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC).

“COC ini dilihat sebagai satu kod tatacara untuk mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan tanpa melibatkan kuasa-kuasa luar dari lautan ini.

“lanya juga adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing,” katanya.

Beliau menjelaskan, dalam melaksanakan rundingan COC tersebut, Malaysia sentiasa memastikan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan dan hak kepentingan negara. – MalaysiaGazette