Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000 untuk menutup kes kematian seorang pekerja warga Bangladesh akibat COVID-19, tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, C. Mahenthiran, 51, didakwa menerima suapan berjumlah RM200,000 daripada pemilik kilang air batu sebagai dorongan bagi membantu lelaki itu daripada dikenakan tindakan dan menutup kes kematian pekerja warga asing akibat COVID-19.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis di Taman Sri Ehsan dan di hadapan sebuah bank di Kepong, di sini, pada 29 Julai dan 3 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi,  jika sabit kesalahan.

Mahenthiran turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu memperdayakan mangsa sama sehingga mendorongnya menyerahkan wang itu supaya tidak dikenakan tindakan daripada Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada tempat, tarikh dan masa sama dan pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Selangor, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan memohon kes yang dihadapi tertuduh hari ini dipindahkan ke Mahkaman Sesyen Shah Alam kerana ia melibatkan siasatan dan saksi-saksi yang sama.

Peguam Datin M. A. Navamani yang mewakili Mahenthiran tidak membantah permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Shah Alam dan memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan sama iaitu RM40,000 seperti yang dikenakan di Mahkamah Sesyen itu.

“Sepanjang siasatan dijalankan, anak guam saya memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa dan kes yang dipertuduhkan hari ini berkaitan dengan kes sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan pasportnya juga telah diserahkan kepada mahkamah,” kata peguam itu.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan sama iaitu RM40,000 dan memerintahkan kes yang dihadapi tertuduh di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam selain menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes itu di mahkamah berkenaan.

Pada 25 Februari lepas, Mahenthiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 16 pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM630,000 untuk menutup kes kematian seorang pekerja warga Bangladesh akibat COVID-19. – Bernama