MELAKA – Seorang pencuci kereta terpaksa membayar RM1,500 selepas mengaku bersalah atas dakwaan menumbuk dan menendang rakan serumahnya bulan lalu.
Majistret Nabiha Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Muhamad Zulhilmi Sholehat, 28, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan terhadap, Yazmi Yahya, 42, dengan cara menumbuk serta menendang mangsa.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 11.50 malam 24 Februari lalu di sebuah rumah pangsapuri di Bukit Katil.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku apabila mangsa menegur sikap tertuduh yang didakwa suka membawa masuk individu tidak dikenali serta mencurigakan ke dalam rumah.
Mangsa dan tertuduh berkawan sejak bangku sekolah malah pernah dipenjarakan bersama-sama atas kesalahan dadah namun telah insaf dan mahu memulakan kehidupan baharu.
Namun tertuduh diikatakan masih bergaul dengan individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan dengan alasan telah insaf.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 atau penjara empat bulan jika gagal bayar.- MalaysiaGazette