Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penerimaan perniagaan terhadap kaedah pembayaran tanpa tunai di Kelantan kini semakin baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah perniagaan baru kaedah pembayaran tanpa tunai telah meningkat sebanyak 7.7% pada tahun 2021 kepada 558, berbanding dengan tahun 2020.

Manakala transaksi perbankan internet juga telah meningkat sebanyak 7.2% kepada 550 bagi tempoh masa yang sama.

”Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah telah berjaya mencapai 80% (320) daripada sasaran matlamatnya iaitu menggalakkan peniaga untuk menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai.

Ini menggambarkan pencapaian dan kemajuan usaha-usaha sektor awam dan swasta dalam membangunkan budaya yang berfokus kepada transformasi digital,” katanya selepas melancarkan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah di Kelantan hari ini.

Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah ini menyaksikan kerjasama strategik oleh Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu, Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, MyDIGITAL Corporation, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Payment Network Malaysia (PayNet), RedONE, Telekom Malaysia Berhad (TM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kelantan ICT Gateway serta Persatuan Peniaga Pasar Siti Khadijah.

Program ini bertujuan untuk merealisasikan aspirasi Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai menerusi penggunaan kaedah pembayaran elektronik atau e-pembayaran bagi kemudahan peniaga dan pengunjung di pasar tersebut.

Negara-negara di rantau Asia Tenggara kini sedang berada pada puncak fasa revolusi kewangan di mana kira-kira 49% daripada penduduk bandar telah pun mengaplikasikan perkhidmatan e-dompet, dan jumlah ini diunjur akan mencecah 84% menjelang 2025.

Di Malaysia, penggunaan e-dompet telah meningkat sebanyak 131% kepada melebihi 600 juta transaksi pada tahun 2020, berbanding tahun sebelumnya.

Penggunaan perkhidmatan e-pembayaran di Malaysia meningkat dengan ketara yang mana jumlah transaksi e-pembayaran mencatat pertumbuhan sebanyak 14% kepada 5.5 bilion transaksi pada 2020.

Secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan 170 transaksi e-pembayaran pada 2020, meningkat daripada 150 transaksi pada tahun 2019. – MalaysiaGazette