Dua mahasiswa Universiti Malaya Chew Wei Xian dan Amir Firdaus Bin Eddy Rosyadie menerima Anugerah Pelajaran DiRaja UM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dua orang mahasiswa Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) menerima Anugerah Pelajaran DiRaja baru-baru ini.

Kedua-dua mereka adalah Chew Wei Xian dan Amir Firdaus Bin Eddy Rosyadie.

Mereka meluahkan perasaan bangga dan gembira kerana dapat menerima anugerah berkenaan

Bagi Wei Xian, sikapnya suka meneroka untuk mengetahui benda baharu dan sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti kampus memberikan manfaat kepadanya.

“Sebagai pelajar yang aktif, penglibatan saya dalam pelbagai aktiviti telah membantu saya menambah ilmu pengetahuan¬† dan meningkatkan kreativiti saya.

“Ia salah satu sebab saya mencapai ke tahap ini dan menerima anugerah ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Justeru Wei Xian menasihati generasi muda supaya sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan melakukan perkara terbaik untuk diri sendiri.

“Kita bukan datang universiti semata-mata untuk mendapat A dalam peperiksaan tetapi untuk mendapat ilmu pengetahuaan tentang kehidupan yang dapat membantu kita pada masa depan,” katanya.

Beliau mengakui pernah menerima kritikan sepanjang tempoh belajar tetapi menerimanya sebagai satu iktibar untuk terus berusaha memperbaiki diri menjadi orang yang lebih baik.

Dalam pada itu, Amir pula menegaskan, beliau sentiasa menentukan sasaran sepanjang tempoh pembelajaran dan ia terbukti berhasil.

Beliau juga menyertai pelbagai aktiviti yang memberi banyak pengalaman sehingga mencapai ke tahap ini.

Amir menasihati generasi muda supaya sentiasa berusaha kerana ia tangga menuju kejayaan selain melakukan perkara baharu yang memberi manfaat.

Bagaimanapun, katanya, setiap kejayaan mesti mempunyai cabaran dan perlu tabah menghadapinya.- MalaysiaGazette-