IPOH – Dua lelaki dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian runtuhan itu pada jam 9.40 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikerahkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat.
“Setakat operasi jam 1.11 tengah hari tadi terdapat empat mangsa dalam kejadian itu yang mana dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi masih terperangkap bawah runtuhan tersebut.
“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turut digerakkan dalam operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, operasi pencarian dilakukan dengan teliti susulan kebarangkalian runtuhan mungkin berlaku lagi. – MalaysiaGazette