KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 33 warga asing yang bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun dalam satu serbuan di sebuah universiti swasta di Semenyih dekat sini pada Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 27 merupakan warganegara Indonesia, empat warganegara Pakistan serta masing-masing satu dari Bangladesh dan Nepal.
“Hasil pemantauan dan risikan mendapati kesemua warga asing ini bekerja dari pukul 7 pagi hingga 4.30 di dalam kawasan universiti ini.
“Operasi bermula jam 11 pagi dengan kekuatan seramai 28 orang Pegawai Imigresen dan telah memeriksa 40 orang warga asing dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 22 hingga 67 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, warga asing yang bekerja sebagai tukang kebun cuba melarikan diri dengan memanjat bukit terletak di belakang bangunan asrama pelajar.
“Manakala tukang cuci cuba mengaburi mata pegawai penguat kuasa dengan membuka pakaian seragam mereka dan menggunakan pakaian biasa.
“Ada juga yang bersembunyi di dalam bilik kecil namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan dengan tindakan pantas anggota serbuan,” katanya.
Menurutnya, hasil maklumat risikan yang diperoleh, pekerja warga asing ini telah bekerja di universiti ini kira-kira dua tahun dan tidak pernah memiliki pas serta tiada dokumen pengenalan diri.
“Syarikat yang menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerjanya.
“Sebanyak tujuh saman saksi dikenakan ke atas pengurus dan penyelia di syarikat tersebut bagi mengesan majikan sebenar.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.
Katanya lagi, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette