Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama penduduk sekitar Felda ketika tiba di Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng untuk menghadiri Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Komuniti Sejahtera Malaysia di Kompleks Sukan Felda Lok Heng Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 MAC 2022

KOTA TINGGI – Keputusan kerajaan menyediakan 3,200 lot tanah untuk generasi kedua peneroka Felda di Johor mampu menyelesaikan masalah kediaman dalam kalangan golongan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, projek berjumlah RM60 juta itu  akan ditanggung secara bersama Felda dan baki RM30 juta lagi akan ditanggung kerajaan Negeri Johor.

Perdana Menteri percaya, dengan adanya lot-lot generasi kedua sebanyak 3,200 itu dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah penduduk Felda.

Menurut beliau, isu perumahan rumah generasi kedua Felda (PGBF) dapat diselesaikan seperti isu pemberian lot-lot untuk kumpulan itu mendirikan kediaman.

Katanya,isu yang timbul sekarang ini kerana banyak rumah dibina tidak mampu dibeli oleh generasi kedua Felda selain kesukaan mendapatkan pembiayaan bank khususnya yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip gaji.

“Ini jelas sekali telah menjejaskan perancangan Felda untuk memastikan golongan generasi kedua mempunyai rumah sendiri. Saya tahu buat masa ini rata-rata mereka masih lagi tinggal dirumah ibu bapa masing-masing.

“Sekarang ini, ada isu dimana ada rumah yang telah disiapkan tetapi tidak dapat diduduki.

”Ada pihak tidak bertanggungjawab telah membeli rumah tersebut dan menyewakan kepada generasi kedua Felda sendiri yang jelas sekali bercanggah dengan perancangan Felda” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, kata Perdana Menteri, konsep projek perumahan Felda yang berbeza iaitu rumah harus disiapkan dahulu baru dibuka untuk jualan juga merupakan salah satu punca projek terbengkalai.

Ini kerana, katanya, ada dalam kalangan pemaju tidak berjaya menyiapkan perumahan tersebut.

Selain itu, Ismail Sabri juga menyatakan keprihatinannya tentang masalah air di kawasan Felda di dalam Kota Tinggi dan di beberapa kawasan yang lain.

“Seperti yang saya umumkan sebentar tadi, taraf loji rawatan air juga akan dinaiktaraf terutamanya di kawasan Felda Lok Heng, Felda Bukit Waha” katanya menjelaskan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM41 juta.

Tindakan pelan menaiktaraf loji rawatan air itu menunggu pelantikan penasihat untuk membolehkan projek tersebut dilaksanakan segera.

Perdana Menteri turut memandang serius isu liputan Internet yang terlalu perlahan di sekitar kawasan Felda Kota Tinggi.

Menurutnya, pihak kerajaan telah berbincang dengan beberapa syarikat telco yang bersetuju untuk membina pencawang bagi mengatasi masalah tersebut yang sering mengganggu urusan dalam talian.

Mengenai gajah berkeliaran memusnahkan hasil tanaman sawit peneroka Felda, katanya, haiwan liar itu akan ditangkap dan dihantar ke Pusat Santuari Gajah Panti yang dibina menggunakan peruntukan RM25 juta di mana fasa satu projek telah pun siap dan kini beralih ke fasa dua.

“Projek tersebut siap tahun ini dan harap akan mengurangkan isu-isu gajah yang berkeliaran merosakkan hasil tanaman sawit peneroka Felda tersebut” jelas Ismail Sabri.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Felda Lok Heng, Kota Tinggi. –MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast