Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) bimbang berhubung pendirian Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menilai permohonan Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengimport dan melepaskan jagung resistan racun rumpai MON87429 yang sudah diubah suai secara genetik (GMO).

Ia susulan hebahan terkini di laman web Jabatan Biokeselamatan Kebangsaan (JBK) berhubung penilaian tersebut.

Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad berkata, permohonan bagi pengimportan dan penjualan jagung untuk kegunaan langsung sebagai makanan, makanan ternakan dan pemprosesan (FFP) itu menimbulkan kebimbangan serius berkaitan kesannya kepada manusia dan alam sekitar.

Kata beliau, ia bermakna jagung MON87429 boleh masuk ke Malaysia sebagai bijirin, bahan makanan bagi pemprosesan, pembungkusan atau sebagai produk siap sedia untuk diedarkan selain sebagai bahan makanan kepada ternakan.

“Jagung GMO yang akan diimport ini berasal daripada jagung biasa dengan ciri tambahan toleran terhadap racun dicamba, glufosinate, perencat aryloxyphenoxypropionate (AOPP) acetyl coenzyme A carboxylase (ACCase) dan 2,4-dichlorophenoxyacetic acid (2,4-D).

“Ia dihasilkan menerusi teknologi pengubahsuaian genetik dengan mencampurkan bahan DNA daripada jagung dan empat bakteria yang menjadi organisma penderma atau donor organism iaitu Stenotrophomonas maltophilia, Streptomyces viridochromogenes, Sphingobium herbicidovorans, dan Agrobacterium sp strain CP4.

“Malah, sejak tahun 2010 terdapat kelulusan lain bagi penggunaan FFP jagung yang sudah diubahsuai genetik selain daripada GM kacang soya, kentang, bit gula, kapas, biji minyak rape dan kanola,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Nurfiti, akan wujud risiko pencemaran genetik terhadap jagung konvensional yang ditanam diladang serta jagung di kawasan rumah dan kebun dengan bahan transgenik diubahsuai ini apabila ia mula diedar ke dalam pasaran.

Kata beliau, pihak engimport mendakwa bahawa potensi penyebaran jagung GMO ini kepada alam sekitar adalah terhad kepada kejadian tumpahan ketika mengendalikannya dan tidak mampu bercambah kerana jagung ini memerlukan keadaan persekitaran yang optimum seperti di ladang, ia tetap tidak boleh dipandang ringan.

“Terdapat kajian menunjukkan genetik yang diubahsuai ini mengubah tahap metabolit dalam padi dan jagung yang toleran kepada racun rumpai dan tanaman itu menghasilkan sebatian toksik kepada manusia dalam konteks tertentu.

 “Malah maklumat mengenai varieti jagung GMO ini sangat sedikit dan tiada butiran terbuka di peringkat molekul yang tersedia bagi memastikan bahawa pengubahsuaian genetiknya tidak menyebabkan sebarang kesan tidak diingini.

“Jika tidak ada bukti sedemikian, sikap berhati-hati mestilah diambil sepertimana yang disyaratkan dalam Protokol Biokeselamatan Cartagena yang ditandatangani Malaysia pada tahun 2003,” ujar beliau.

Sehubungan itu, FKMM bersama 23 lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan bagi membatalkan kesemua kelulusan GMO ataupun produk GMO sebelum ini.

Antara NGO berkenaan ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Persatuan Usahawan Tani Cinta Alam Kelantan (PUNCAK), Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia) dan Malaysian Institute of Sustainable Agriculture (MISA). – MalaysiaGazette