Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Firma berpangkalan di Dubai, Bin Zayed International LLC (BZI) menerusi usaha samanya dengan Widad Business Group Sdn Bhd (Widad), menyasarkan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Sheikh Midhat Kidwai berkata, FDI tersebut akan diperoleh secara berperingkat yang bermula dengan projek pembangunan ‘The Langkasuka’ bernilai RM40 bilion di Langkawi.

Majlis pecah tanah projek tersebut akan dijalankan pada suku kedua tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, projek pembangunan bercampur-campur itu dengan fasa pertamanya dijangka siap dalam tempoh empat tahun, akan dimajukan bersama oleh BZI dan Widad yang juga konglomerat pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu.

“Sejajar dengan langkah global ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa, kami yakin dengan prospek ini memandangkan Malaysia dan Langkawi sentiasa diterima baik dalam kalangan pengembara bagi tujuan perniagaan dan riadah antarabangsa.

“Namun, kami melihat wujudnya peluang bagi pertumbuhan seterusnya dan atas dasar itu, BZI bekerjasama dengan Widad bagi meninjau potensi lebih besar yang akan dilaksanakan secara berfasa dan dimulakan dengan pembangunan Langkasuka,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad, Tan Sri Muhammad Ikmal berkata, Widad dan BZI kini mempertingkatkan usaha bagi memastikan kejayaan projek tersebut.

“Syarikat usaha sama kami, Widad BZI Sdn Bhd, kini dalam proses mendapatkan kelulusan sewajarnya bagi menyiapkan projek sepertimana yang dijadualkan.

“Nilai pembangunan kasar bagi fasa satu pembangunan Langkasuka itu dianggarkan RM4.5 bilion,” katanya.

BZI merupakan sebahagian daripada Bin Zayed Group, sebuah konglomerat berpangkalan di Dubai yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan dan tenaga, dagangan dan industri, hartanah, teknologi dan perkhidmatan kewangan.

Ia dimiliki oleh Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan yang juga kerabat diraja Abu Dhabi.

BZI dan Widad telah menandatangani perjanjian usaha sama pada 7 Mac, 2022 yang menyusuli pemeteraian perjanjian kerjasama pada 30 Mac, 2021.

Perjanjian tersebut membolehkan Widad menguasai 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Widad BZI manakala baki 30 peratus kepentingan dimiliki oleh BZI. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast