Calon Barisan Nasional (BN) N39 Tanjung Surat, Aznan Tamin. Foto: NIZAM ZAIN

PENGERANG – Kerajaan Persekutuan perlu mengekalkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi pada masa ini bagi membolehkan peneroka Felda menikmati pendapatan tinggi sekitar RM12,000 sebulan.

Harga komoditi itu yang kini mencecah lebih RM8,000 setan hanya dinikmati peneroka sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negara perlu diteruskan tanpa bermusim.

Calon BN N39 Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, harga semasa sawit kini adalah yang tertinggi dalam sejarah membuktikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini gagal menambah baik kehidupan peneroka.

“Rakyat pasti terkesan dengan apa yang berlaku sekarang dengan kenaikan harga sawit, ketika pemimpin BN diberi mandat semula, banyak perkara yang menggembirakan rakyat.

“Rakyat mengerti apa itu kesejahteraan rakyat, apa yang dilakukan BN. Rakyat pasti percaya dan faham parti mana yang dapat membangunkan mereka terutama DUN Tanjung Surat.

“Bila harga sawit tinggi bermakna masyarakat Felda terutama peneroka-peneroka semakin gembira dan mereka setiap hari mengatakan ketika pentadbiran PH, mereka sengsara,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Harga MSM Malaysia mencecah RM8,000 satu tan buat pertama kali pada 1 Mac lalu selepas harga MSM Mac 2022 naik sebanyak RM640 kepada rekod tertinggi RM8,091.

Aznan juga berkata, beliau dimaklumkan semasa pentadbiran PH semalam 22 bulan sebelum ini, masyarakat peneroka Felda bukan sahaja tidak menikmati harga tinggi sawit bahkan mereka hampir hilang pendapatan.

“Bila saya duduk dengan peneroka-peneroka, hari itu (zaman PH) nak isi minyak pun tak boleh, nak betul tayar pancit pun tak boleh.

“Bila harga ini naik, hanya BN mampu membela mereka, bila harga boleh mencecah RM8,000 setan, kita harap harga ini terus konsisten.

“Kita harap pengundi dapat beri BN mandat dalam PRN Johor kali ini agar kami dapat membela rakyat khususnya di kawasan Felda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette