PALOH – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu semua pihak berkempen secara sihat pada saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

Beliau juga menasihatkan BN dan juga pihak lawan supaya tidak sesekali memporak perandakan masyarakat setempat hanya semata-mata kerana kepentingan politik dan meraih undi.

“Kita mahu semua kempen secara positif, tinggal beberapa jam sahaja lagi. Yang penting kita sudah berkempen sedaya upaya, harap perjalanan tertib dan terlalu seronok sangat penghujung-penghujung ini.

“Saya harap sangat kita akan berkempen sehingga penghujungnya dengan positif. Kemudian kita serah kepada pengundi untuk mereka pilih untuk berkhidmat. Yang akan menentukan adalah pengundi-pengundi di sini.

“Janganlah kita memporak perandakan masyarakat setempat kerana kepentingan politik bermusim dan sempit. Itu sahaja nasihat saya kepada semua menjelangnya undi pada Sabtu ini,” katanya hari ini.

Datuk Seri Hishamuddin berkempen bersama calon N30 Paloh, Lee Ting Han.

Beliau berkata demikian selepas hampir seharian berkempen bersama calon Parlimen Sembrong iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang diwakili oleh Lee Ting Han manakala DUN Kahang, R Vidyananthan.

Turut serta bertemu masyarakat setempat di sekitar Paloh dan Kahang hari ini ialah Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan sekali lagi berharap para pengundi akan keluar mengundi pada 12 Mac ini bagi menentukan kerajaan yang lebih baik untuk rakyat di negeri ini.

Untuk makluman, seramai  239 calon bertanding bagi merebut 56 DUN dalam pilihan raya negeri kali ini. 

BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing bertanding di semua 56 DUN manakala, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di tujuh kerusi. 

Selain itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding di enam kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu kerusi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast