Hwa Kwong bertemu pengundi ketika melakukan walkabout di bandar Penggaram, hari ini.

BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Ter Hwa Kwong tidak “goyang kaki” ketika menjalani kuarantin disebabkan positif Covid-19.

Beliau sebaliknya memanfaatkan masa dengan melayari media sosial untuk berkempen bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, bermula hari ini beliau menyambung kembali kempen bertemu pengundi selepas seminggu menjalani kuarantin di rumah.

“Walaupun saya dalam kuarantin tapi jentera pilihan raya dan pasukan saya memang terus berjalan.

“Selain itu, saya pun ada guna secara online untuk perkenalkan (diri) sebagai calon kepada kawan-kawan, persatuan-persatuan dan NGO (badan bukan kerajaan),” katanya kepada MalaysiaGazette ketika melakukan walkabout di Bandar Penggaram di sini, hari ini.

Hwa Kwong berkata, beliau tidak akan duduk diam dan menggunakan tempoh masa yang ada untuk berkempen serta memperkenalkan dirinya kepada orang ramai.

Dalam pada itu Hwa Kwong memohon maaf kepada pengundi-pengundi di beberapa kawasan kerana tidak dapat bertemu secara terus.

Katanya, perkara itu bukanlah disengajakan sebaliknya beliau mematuhi arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dijangkiti Covid-19.

Pada 4 Mac lepas, Hwa Kwong disahkan positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian RT-PCR.

Seluruh jentera kempennya juga turut menjalani ujian saringan Covid-19 dan melakukan kuarantin kendiri.

Serentak itu beliau membatalkan serta-merta semua program yang telah dijadualkan.

Ditanya pendekatan yang diambil di saat tempoh berkempen kini kurang 42 jam, Hwa Kwong berkata, beliau akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin bertemu pengundi dengan mengamalkan pematuhan kesihatan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

Calon BN Penggaram positif Covid-19

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast