SEGAMAT – Kawasan luar bandar terutamanya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap boleh terus dibangunkan menjadi kawasan pertanian untuk merancakkan ekonomi penduduk Felda.
Untuk itu Datuk Zahari Sarip, calon Barisan Nasional (BN) di DUN tersebut akan melaksanakan pelbagai projek dalam menggalakkan usahawan belia Felda menjalankan perniagaan berasaskan pertanian dan perikanan.
Katanya, inisiatif membuka pasar tani di Felda Palong Timur sebagai platform memasarkan produk berasaskan pertanian penduduk tempatan akan dimanfaatkan kepada usahawan belia di sini.
“Hari ini hari pertama beroperasi pasar pasar yang dicadangkan sejak tahun lepas hasil perbincangan bersama Majlis Belia Felda untuk membolehkan belia berniaga dan penduduk setempat pula membeli barangan keperluan.
“Buloh Kasap ini sebahagian besarnya adalah kawasan luar bandar jadi perniagaannya adalah berasaskan pertanian dan perikanan,” katanya.
Jelas Zahari, pembukaan pasar tani berkenaan secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada penduduk sekitar dan berhampiran untuk menambah pendapatan
“Ini bukan sahaja memanfaatkan belia di sini, kalau ia berjaya ia juga memanfaatkan penduduk kampung sekitar.
“Kita berikan peluang kepada peniaga yang aktif secara dalam talian untuk memasarkan produk secara bersemuka,” katanya..
Menurut Zahari, pembukaan pasar tani itu melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 antara lain menarik perhatian para peniaga ayam, sayur dan barang keperluan lain secara berpusat dan tersusun.
Tambah penyandang kerusi DUNBuloh Kasap ini, pihaknya dalam perbincangan dan bercadang untuk menambah baik infrastruktur tapak pasar seperti tandas dan kemudahan lain sekiranya terus mendapat sambutan yang baik. – MaysiaGazette