Mohana Muniandy

KLUANG – Penerimaan pengundi-pengundi di Johor terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) cukup berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, kata Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy.

Aura positif ini menambah keyakinan bahawa BN akan menerima mandat dengan baik pada PRN kali ini.

”Suasana dan perasaan kali ini sungguh berbeza sekali,” katanya yang sudah berkampung dengan keseluruhan jentera wanita di 56 Kerusi Dewan Undangan. Negeri (DUN) sejak tujuh minggu lalu.

Katanya, berdasarkan respons yang diterima, pengundi-pengundi Johor mahukan kestabilan – dari semua aspek termasuklah ekonomi, kesihatan, politik dan lain-lain.

“Rata-rata pengundi mengadu apabila BN tumbang pada 2018 lepas kerana janji-janji tidak munasabah dan tidak realistik itu akhirnya menyebabkan rakyat menderita, ekonomi merudum.

“Ini bermakna rakyat Johor masih mengenang jasa dan peranan BN selama lebih 60 tahun,” ujar beliau lagi.

Kata Mohana lagi, pembangkang masih berterusan melakukan fitnah, selain menaburkan lagi janji-janji baharu kepada pengundi tanpa langsung mempedulikan isu-isu yang sedang menghantui rakyat selepas PRU14.

“Di Johor sendiri berdepan ketidakstabilan ekonomi dan ketidaktentuan politik, tawaran BN melalui Ikhtiar BN Johor baru-baru ini mampu menjadi naratif yang kuat dalam membawa kestabilan semula dalam dua aspek itu.

“Apabila dua perkara ini difokuskan dan berjaya dicapai nanti, ia akan membawa Johor kepada kuasa utama ekonomi dalam negara kerana itu janji Ikhtiar BN Johor itu realistik,” katanya.

Seramai  239 calon bertanding bagi merebut 56 DUN dalam pilihan raya negeri kali ini.

BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing bertanding di semua 56 DUN manakala, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di tujuh kerusi.

Selain itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding di enam kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu kerusi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast