Gambar hiasan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor masuk ke minggu kedua. Tiga hari lagi sebelum hari mengundi. Ceramah semakin banyak dan rancak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kuat berceramah menjual manifesto PH yang didakwa menjaga semua kaum bukan orang Melayu sahaja.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke sana dan ke sini, bertemu rakyat dan berceramah.  Menjelaskan kedudukan ekonomi negara dan isu kes 1MDB.

Beliau meminta rakyat menyokong kembali UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi kestabilan politik Kerajaan Negeri Johor.

Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru sihat dari melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara juga kelihatan turun ke Johor.

Bekas Perdana Menteri itu mengambil kesempatan ini menyerang Najib dengan pelbagai tuduhan berkaitan dengan pembabitan Najib di dalam Kes Skandal Kewangan Terbesar di dunia iaitu 1MDB.

Pengerusi Perikatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin juga kelihatan setiap malam memberi ceramah di kawasan-kawasan pilihan raya yang menjadi tumpuan kepada parti pimpinannya.

Kempen berbaki dua hari lagi, tumpuan lebih kepada siapa yang bakal menang bergaya di PRN Johor? Siapa yang akan kalah? Siapa yang akan tumbang ? Siapa yang akan tersungkur?

Ramalan pilihan raya untuk Johor lebih sukar dari Melaka kerana negeri Johor lebih besar, terbahagi kepada tiga zon. Zon selatan di JB, zon barat atau zon utara dan zon timur.

Geografi Johor juga berbeza. Sentimen rakyat Johor di zon selatan berbeza dengan sentimen rakyat di zon barat/ utara, zon timur dan zon tengah.

Sentimen pengundi Cina juga berbeza. Orang Cina dalam bandar kelihatan tetap menyokong parti DAP.

Sama ada mereka akan keluar mengundi atau tidak, tiada siapa yang akan tahu. Hanya pada 12 Mac sahaja baru kita akan dapat tahu berapa peratus yang akan keluar mengundi.

Setakat hari ini, sasaran yang akan keluar mengundi berada pada paras 70% hingga 75%.

Manakala pengundi Cina di luar bandar sudah kelihatan akan meninggalkan PKR dan DAP. Mereka kelihatan mahu kembali menyokong calon MCA dan BN.

Kemungkinan besar kerana mereka merasakan suara mereka (kaum Cina) perlu berada di dalam Kerajaan Negeri Johor sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Kemungkinan juga mereka berasa yakin, BN akan berjaya membentuk Kerajaan Negeri Johor selepas 12 Mac.

Di Johor sentimen sokongan berbeza-beza mengikut zon dan kawasan. Ini adalah kerana keluasan kawasan negeri Johor.

Sebagai contoh di sebelah utara atau pantai barat Johor seperti di Pagoh, Muar, Sekijang, Segamat, Ledang dan lain-lain yang berdekatan, pengaruh  Muhyiddin dan PN jelas kelihatan kuat.

Parti itu mempunyai harapan cerah untuk menang di kawasan-kawasan DUN ini.

Manakala di zon tengah seperti di Sri Gading, Parit Sulong dan lain-lain kekuatan UMNO dan BN jelas kelihatan dan tidak dapat di nafikan.

Di zon pantai timur seperti di Mersing, Kota Tinggi dan Pengerang kekuatan UMNO dan PN sama-sama kuat 50-50,menjadi pertembungan sengit di kawasan DUN tersebut.

Manakala, di zon selatan seperti di Johor Bharu, Pulai, Kulai dan Pasir Gudang serta bandar-bandar besar, pengundi urban, amat jelas kerusi-kerusi ini akan di kuasai oleh parti DAP.

PRN Johor memperlihatkan sokongan dan pengaruh PKR menurun secara drastik. PKR dijangka akan menang hanya di DUN Bukit Batu, Calun Cina dari Parti PKR di kerusi campuran.

DAP juga dijangka akan kalah empat kerusi mereka. DAP dijangka akan tinggal 10 kerusi DUN di bandar-bandar utama Johor sahaja.

DAP juga dijangka kehilangan DUN Yong Peng kepada MCA/BN. Peralihan angin perubahan ini amat ketara buat kali ini.

Parti Amanah juga dijangka hanya akan menang satu kerusi sahaja iaitu di DUN Simpang Jeram yang ditandingi Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Parti MUDA pula kelihatan tidak akan menang sebarang kerusi. Mereka hanya ada peluang yang tipis di kerusi DUN Puteri Wangsa. Di sini juga di jangka pertembungan yang sengit antara calon-calon yang bertanding.

Manakala, parti UMNO di jangka akan tewas di DUN Machap. Saingan sengit antara calon Pas, Azlisham Azahar dan Pejuang, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Calon UMNO Datuk Onn Hafiz kelihatan akan berhadapan dengan laluan yang amat sukar. Siapa pun yang menang, akan memperoleh majoriti yang tipis di sini.

Perlu diperjelaskan sama ada disedari atau tidak, parti-parti politik dari blok pembangkang kelihatan membuat pakatan di antara mereka untuk menumbangkan BN di PRN Johor.

Pakatan longgar ini dipanggil khemah besar atau The Big Tent di mana parti-parti politik dari blok pembangkang ini mengadakan kerjasama politik, memastikan BN tidak akan menang besar seperti di PRN Melaka.

Kerjasama ini this loose political arrangement, menyukarkan lagi UMNO dan BN untuk menang di PRN Johor.

Ramalan awal PRN Johor

Peratusan keluar mengundi:

65%  –  Amat bagus untuk BN. BN akan menang besar.

75%  –  Pertandingan sengit antara BN  dan PN.

80 – 83% –  Bagus untuk PN. PN akan menang banyak kerusi DUN Johor.

Ramalan kerusi dimenangi:

PN: 6 hingga 12 kerusi DUN.

PH: 14 kerusi (DAP – 10 hingga 12 kerusi, Amanah – 1 kerusi, PKR – 1 kerusi)

BH: Dijangka menang antara 31 hingga 37 kerusi ( MCA – 2, MIC – 1, UMNO –  31 hingga 35 kerusi).

Walau bagaimanapun, sekiranya peratus mengundi naik antara 80% hingga 83%  keputusan PRN Johor akan memperlihatkan keputusan yang amat berbeza.

Saya menjangkakan keputusan PRN Johor akan tergantung sekiranya peratus keluar mengundi melepasi 80% ke atas dengan tiada satu gabungan parti pun akan berjaya membentuk Kerajaan Negeri secara bersendirian.

Saiful Bahar Mohd. Arshad – Foto media sosial

 

 

Datuk Saiful Bahar Mohd. Arshad merupakan penganalisis politik

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast