Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2022.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2022.

TANGKAK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak perlu memujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Kata Ahmad Zahid, gesaan itu akan diketengahkan oleh pembahas-pembahas yang dijangka membawa usul tersebut di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 16 Mac ini.

“Tak perlu pujuk, akan ada pembahas dari negeri-negeri (bawa usul) dan kita akan lihat bagaimana jurucakap daripada negeri itu akan memperbahaskan ucapan Dasar Presiden.

“Kita akan menggali apakah dapatan dan pandangan daripada mereka, maka ketetapan ataupun usul akan dibuat daripada apa yang akan disampaikan oleh jurucakap berdasarkan kepada fakta politik semasa.

“Jika sebahagian besarnya memerlukan apa yang disebut sebagai memperolehi mandat baru daripada rakyat maka itulah yang akan menjadi ketetapan kepada PAU kali ini,” katanya dalam sidang media selepas siri ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah Ring, hari ini.

Ditanya mengenai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berbaki sehari lagi, Ahmad Zahid berkata, BN tidak boleh mendahului beberapa pihak yang membuat analisis bahawa parti itu akan menang besar pada PRN kali ini.

“Saya tidak mahu mendahului daripada penganalisis politik apa lagi ketetapan Allah.

“Kita akan cross the line, kita memerlukan jumlah kerusi mudah kita perlu 29 kerusi, selebihnya kita masih berusaha dan kita berdoa pada Allah agar usaha kita diberikan kemakbulan dan kejayaan berpihak kepada kita untuk kerusi-kerusi itu perolehi,” jelas Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak yang giat menggerakkan kempen untuk gabungan itu di Johor.

Katanya tidak timbul isu gelombang biru BN mahupun gelombang ‘Bossku’ kerana ia mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memenangkan BN di PRN Johor.

“Beliau hampir 10 tahun menjadi pengerusi BN dan Presiden UMNO dia tahu kawasan mana yang beliau perlu bantu dan claon mana yang perlu dibantu dan saya ucapkan terima kasih atas bantuan dan komitmen yang beliau perlihatkan,” jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Bermula pada sesi penamaan calon pada 26 Februari lalu, Najib dilihat turun ke Johor bersama-sama calon BN untuk memastikan kerajaan yang dibentuk selepas 12 Mac depan adalah satu kerajaan kukuh. – MalaysiaGazette