Tan Chong, calon Barisan Nasional (BN) bertanding di Dun Bekok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 15

SEGAMAT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Tan Chong, tekad menghidupkan semula Pusat Perindustrian Labis, dekat sini, jika beliau dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, lot-lot premis di pusat perindustrian itu kini suram dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Tambah beliau, pembangunan semula pusat industri itu akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda yang berkemahiran untuk berkhidmat di kawasan tersebut.

“Kawasan di sini masih banyak kosong, kalau dapat hidupkan semua pusat perindustrian di sini tentu golongan belia boleh bekerja atau buka bengkel sendiri di Labis.

“Jika industri kemahiran dimanfaatkan sebaiknya, ianya dapat membantu generasi akan datang supaya meningkatkan ekonomi lebih stabil demi dan memajukan Labis.

“Selain kemahiran, kira boleh menaik taraf kemudahan infrastruktur dan pembangunan lokasi industri juga dilaksanakan supaya lebih meriah,” kata ayah kepada tiga orang anak ini.

Tan Chong ketika melawat kakitangan konsesi pembersihan di Taman Industri Labis, petang semalam

Sebagai permulaan, Chong merancang untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dalam usaha membangunkan kembali pusat perindustrian tersebut.

Tambahnya, selain itu gandingan usaha penduduk DUN Bekok juga diperlukan untuk meningkatkan ekonomi setempat terutamanya dalam aktiviti agro pelancongan di Labis.

Chong yang ditemui wartawan MalaysiaGazette ketika melawat sekitar Pusat Perindustrian Labis berkata, terdapat banyak rancangan pembangunan untuk rakyat di DUN Bekok boleh dilakukannya.

“Saya sedia berkhidmat, kalau saya menang, rakyat Labis pun senang,” katanya ketika menyantuni kakitangan konsesi pembersihan.

Chong yang merupakan anak tempatan Labis berdepan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Tan Lek Khang, M. Kanan (PH) dan Sandra Segaran Aramugan (Warisan) pada PRN Johor, 12 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast