Penduduk Layang-Layang, Chandran Palanisamy.

SIMPANG RENGGAM – Sokongan kaum ketiga terbesar di negara ini tetap kepada logo dacing Barisan Nasional (BN) dan bukan sahaja untuk Pilihan Raya (PRN) Johor kali ini sebaliknya untuk semua pilihan raya sejak lebih 60 tahun lalu.

Ini kerana menurut masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, BN telah banyak menabur jasa dan khidmat sejak beberapa generasi dan sukar untuk mereka percaya kepada parti yang hanya muncul pada musim pilihan raya sahaja.

Tinjauan hari ini mendapati bukan sahaja golongan berusia memilih BN sebaliknya ada juga dalam kalangan pengundi baharu yang merasakan parti komponen UMNO, MIC dan MCA itu jauh lebih stabil.

Menurut Chandran Palanisamy, 64, masyarakat setempat lebih rela mengundi BN yang bukan sahaja mentadbir begitu lama tetapi juga telah mengotakan janji-janji pilihan raya berbanding pakatan pembangkang yang hanya pandai berjanji dan untuk melaksanakannya jauh sekali.

“Undi untuk BN kerana BN sahaja yang banyak bantu kita. Dari dulu sampai sekarang kami tahu undi itu sahaja. Apa sahaja mereka (calon BN) cakap mesti mereka laksanakan. Tidak tengok bangsa, tolong semua sama rata.

“Kami kerja estet atau petani, kami memang susah. Bila bantuan asas seperti perubatan jika yang sakit, makanan, pekerjaaan diperlukan, memang wakil rakyat akan bantu. Sekarang kita harap ada bantuan pengangkutan seperti bas yang kerap keluar masuk kerana kasihan orang tua tunggu lama.

“Ada banyak parti bertanding kali ini, semua cakap sahaja hendak buat itu dan ini. Tapi mana ada buat. Dulu janji bila dapat kerajaan persekutuan, mereka janji turun harga minyak dan lain-lain. Sampai sekarang mana ada? Lagi naik adalah. Mereka cakap tapi tidak buat,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Layang-Layang hari ini.

Chandaran juga mendedahkan ramai dalam masyarakat India menyukai Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad mentadbir Johor walaupun hanya untuk tempoh yang pendek sebelum pembubaran DUN baru-baru ini.

Penduduk Layang-Layang, Sundram Muniandy

Bagi Sundram Muniandy, 52, pula pertandingan kali ini agak sengit bukan sahaja di DUN Layang-Layang tetapi keseluruhan negeri.

Namun katanya, pengundi akan tetap pilih calon yang boleh buat kerja dan bukan cakap kosong atau bercerita hal-hal tidak berkaitan.

“Kita penduduk tidak minat dengar lagi cerita-cerita macam dulu. Dulu adalah sikit pengundi kita undi parti lain tapi akhir sekali menyesal kerana mereka tidak peduli lagi. Ahli Parlimen sini pun hanya datang minta undi tiga empat tahun lepas itu hilang.Tidak nampak. Sekarang datang minta.

“Itu juga sebab mengapa beberapa hari  lepas beberapa orang Cina di sini marah beliau bila datang sini minta undi lagi. Dulu pembangkang cakap, kita pun percaya tapi tidak ada apa-apa kemajuan di Layang-Layang. Penduduk rasa tertipu. Janji kosong.

Menurutnya, BN sudah lama membantu penduduk di kawasannya baik bantuan pendidikan, pembinaan kuil malah masa pandemik juga mereka menerima banyak bantuan.

Pengundi baharu, Mercy Jasline (kiri), Nageswary

Bagi dua pengundi muda yang juga anak jati Simpang Renggam, Mercy Jasmine Arokiasamy, 22 dan Nageswary Paramasivam, 25, pengalaman mengundi buat kali pertama memang akan digunakan dengan sebaiknya.

Sebagai anak muda yang membesar di sini, mereka tahu calon parti mana yang membuat kerja dan ada perancangan masa depan.

Mereka juga menyedari ada pemimpin parti politik hanya pandai bercakap tetapi tidak pernah mengotakan janji.

Seramai 239 calon bertanding bagi merebut 56 DUN dalam pilihan raya negeri kali ini pada hari esok.

BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing bertanding di semua 56 DUN manakala, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di tujuh kerusi. 

Selain itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding di enam kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4) dan masing-masing satu kerusi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast