Pihak lawan berkempen secara melampau dengan mengantung sepanduk memfitnah Zahid dalam kempen PRN Johor.

KUALA LUMPUR – Tinggal satu hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum hari mengundi esok, parti lawan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin terdesak untuk menarik sokongan.

Jentera parti lawan akan melakukan apa sahaja asalkan undi tidak memihak kepada calon BN dengan menggunakan taktik kempen secara melampau semata-mata untuk menyemai politik kebencian.

Ini terbukti melalui siri ceramah dan perbahasan di Dewan Rakyat sehingga memasang sepanduk yang tiada kaitan dengan PRN dalam kempen mereka.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, inilah gaya berkempen golongan pelampau politik yang sanggup melakukan apa sahaja, apatah lagi dalam keadaan terdesak.

BN katanya, mengetengahkan tawaran mengembalikan kestabilan, kemakmuran, kemajuan dan kesejahteraan kepada Johor.

“Namun, mereka terus menyemai politik kebencian dengan melakukan serangan-serangan peribadi terhadap pemimpin BN.

“Hakikatnya pendakwaan mahkamah yang mereka kenakan terhadap saya dan pemimpin BN tiada kaitan dengan PRN Johor.

“Barangkali ini sahaja senjata kempen mereka miliki selepas menyedari majoriti rakyat sudah tahu tentang penipuan mereka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas satu poster atau sepanduk yang tertera gambarnya dengan tulisan “Salah guna duit anak yatim (asnaf) ibu tunggal…” yang dipasang di jejantas dekat Kulai, Johor.

Ahmad Zahid mengajak rakyat agar menyaksikan pendakwaan terpilih yang pihak berkenaan kenakan terhadapnya dan pemimpin BN harungi dengan penuh ketabahan.

“Kami tahu inilah harga perlu kami bayar demi memastikan BN tidak sesekali “inalilahi wainalilahi rojiun” seperti mereka hasratkan.

“Kami tahu inilah pengorbanan demi memastikan UMNO tidak “dihijack”. Mereka telah lama merancang tetapi kami tidak lalai.

“Saksikan juga kami tidak boleh menjawab secara terperinci mengenai kes kepada umum kerana itu dianggap contempt of court,” katanya.

Ahmad Zahid yang merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka pula sewenang-wenangnya menggunakan pendakwaan terpilih yang dikenakan terhadap lawan politik sebagai bahan kempen.

“Kami diprovokasi untuk berlawan dengan tangan diikat, itulah sifat pelampau politik licik dan penuh dengan tipu daya. Bagaimanapun, saya fikir rakyat Johor sudah jemu, muak dan serik dengan permainan politik seperti itu.

“Apatah lagi selepas mereka menyaksikan ekonomi dan segala yang baik di Malaysia musnah sesudah PRU-14,” katanya.

Beliau berkata, tarikh 12 Mac ini adalah masa untuk Bangsa Johor tebus kesilapan lalu dan menghukum pelampau parti politik yang pernah memperdaya mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast