Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada media selepas selesaimenghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ahli Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (KOPAMA) di Dewan Rakyat Sungai Mas, Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 MAC 2022.
Hamzah Zainudin

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional menafikan kononnya pengerusi parti itu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bersetuju mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat ‘Persetujuan Mencalonkan Datuk Seri Anwar Sebagai PM Ke-10’ dengan kepala surat Parti Perikatan Nasional yang disebarkan di media sosial adalah palsu.

Menurut Hamzah, surat yang ditandatangi oleh ‘Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Haji Md. Yassin’ itu berniat jahat dan sengaja disebarkan bagi mengelirukan rakyat Johor yang akan mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) esok.

“Perikatan Nasional percaya bahawa rakyat Johor tidak akan terpedaya dengan amalan kempen kotor sesetengah parti politik yang terdesak dan tidak dapat menerima gelombang sokongan rakyat terhadap calon dan ikrar Perikatan Nasional.

“Seluruh jentera parti diseru untuk kekal fokus mendekati rakyat dan membawa aspirasi serta keprihatinan Perikatan Nasional demi bangsa Johor dalam tempoh-tempoh akhir berkempen PRN Johor 2022,” kata Hamzah dalam satu kenyataan.

Surat berkenaan tersebar di media sosial sejak semalam menyatakan pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dibuat bagi menyelamatkan negara daripada ‘terus dirosakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional’.

Menurut surat itu, PN sanggup memberi kepercayaan dan sokongan penuh terhadap Anwar bagi merealisasikan kerjasama politik kedua-dua parti.

Tambahnya, kerjasama baharu itu akan dikenali sebagai Perikatan Harapan.

Surat terbabit turut mencadangkan satu mesyuarat pembahagian kerusi selepas PRN Johor berakhir bagi memperkukuhkan hubungan politik antara PN dan PKR.

“Sekiranya pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan lebih awal maka persediaan kea rah PRU akan dapat disusun dengan lebih teratur,” kata surat palsu berkenaan.

PKR dan PN merupakan seteru dalam PRN Johor yang akan berlangsung esok. PN dan PKR di bawah gabungan Pakatan Harapan masing-masing meletakkan calon di semua 56 Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.-MalaysiaGazette