Tuan Zurainah mengisi bekas air daripada paip yang disambung ke rumahnya oleh Syarikat Air Johor.

BATU PAHAT – Syarikat Air Johor (SAJ) menunaikan janji apabila menyambung bekalan air terawat ke rumah sebuah keluarga daif di Lintang 2, Kampung Separap, Jalan Simpang Lima di sini semalam.

Penyambungan dibuat oleh kontraktor SAJ dan bekalan terus diterima sejurus selepas itu.

Ketua Agensi Ranhill SAJ Batu Pahat, Mohd Azmi Ismail berkata, pihaknya lega selepas dapat membantu keluarga terbabit menikmati bekalan air bersih.

Katanya, beliau tidak menyangka masih ada lagi pihak yang keciciran sedangkan seluruh kawasan kampung tersebut sudah lengkap mendapat bekalan tersebut.

“Alhamdulillah, bekalan air terawat daripada Ranhill SAJ telah pun disambungkan ke premis pelanggan pada hari semalam.

“Diharap dengan penerimaan bekalan air itu keluarga berkenaan akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya menerusi khidmat pesanan melalui aplikasi Whatsapp hari ini.

Terdahulu sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan mengenai kemiskinan yang dialami keluarga miskin terbabit.

Bukan sahaja kekurangan dari segi harta benda, malah, keluarga tersebut turut tercicir daripada mendapat pelbagai bantuan kerajaan termasuk bekalan air terawat.

Sejurus selepas, kesempitan hidup keluarga itu disiarkan portal ini, SAJ memberi respon dan berjanji untuk menyambung bekalan air bersih untuk kegunaan harian keluarga berkenaan.

Sementara itu, salah seorang daripada keluarga berkenaan Tuan Zurainah Tuan Hussin, 40, berkata, beliau sangat bersyukur kerana dapat juga akhirnya mereka sekeluarga menikmati bekalan air bersih untuk kegunaan harian.

Katanya, dia dan keluarga tidak lagi perlu bersusah payah mengangkut air dari surau berdekatan bagi kegunaan makan dan minum setiap hari.

Bagaimanapun katanya, mereka tetap akan menggunakan air di surau buat sementara waktu untuk tujuan mandi dan membuang air kerana kediaman mereka masih lagi belum memiliki tandas.

“Terima kasih kepada MalaysiaGazette kerana membantu menyiarkan kesusahan hidup kami hingga akhirnya mendapat perhatian daripada pihak SAJ.

“Kami ini orang susah namun, kami tidak meminta-minta…mujurlah dengan keprihatinan yang diberikan dapatlah kami menikmati sedikit kesempurnaan kehidupan berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Zurainah berkata, selain SAJ terdapat juga pihak-pihak lain dan orang perseorangan yang datang membantu dengan menghulurkan bekalan makanan dan sedikit sumbangan kewangan.

Tambahnya, terdapat juga pihak-pihak yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang turut menghulurkan sumbangan peribadi untuk kegunaan mereka sekeluarga.

“Semoga semua yang membantu kami sekeluarga akan beroleh rahmat dan ganjaran daripada yang maha esa.

“Kami tidak dapat membalas jasa yang diberikan… apa yang kami mampu hanya berdoa semoga rezeki semua diluaskan,” katanya dalam nada sebak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Enam sekeluarga rayu bantuan untuk teruskan hidup

SAJ janji beri bantuan kepada keluarga daif

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast