Ab Mutalib Abd Rahim

SIMPANG RENGGAM – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang, Datuk Ab Mutalib Abd Rahim sampai awal pagi bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Sek Keb LKTP Layang-Layang di sini.

Beliau sempat membisikkan kepada MalaysiaGazette dirinya tidak tidur semalaman kerana teruja dan bermacam-macam perasan pada hari ini.

Bagaimanapun kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, sifat itu agak normal dan berkemungkinan dilalui oleh semua calon.

“Itu normal bagi semua calon. Saya gembira dan teruja juga lagi-lagi dengan pelbagai laporan positif dari bawah. Saya juga sudah buat yang terbaik bukan masa kempen sebaliknya sepanjang masa walaupun tidak bertanding pada 2018.

”Kita tengoklah nanti kerana pengundi yang akhirnya akan buat keputusan terbaik,” katanya sebelum masuk ke pusat undi sekitar 8.20 pagi.

Ab Mutalip selesai mengundi sekitar 8.45 pagi sebelum menemui sekumpulan pengamal media yang sudah berada di lokasi sejak 7 pagi lagi.

Kata beliau, perjalanan proses nampak begitu lancar dan baik sekali dengan pengundi bukan sahaja tiba awal malah turut mematuhi SOP yang telah di tetapkan.

“Cuaca juga baik. Semuanya nampak lancar, kita harap lebih ramai pengundi akan datang mengundi dengan keadaan cuaca seperti sekarang.

“Insyaallah pengundi tahu siapa yang berkhidmat untuk rakyat dan siapa bermusim. Kita biar pengundi buat keputusan terbaik,” ujarnya.

Sebelum sempat pulang, Ab Mutalip dan ayahnya, Abd Rahim sempat menyanyikan lagu ‘Barisan Kita’ di luar perkarangan pusat undi sebelum meninjau lokasi-lokasi undian lain sekitar Layang-Layang.

Seramai 25,147 pengundi berdaftar layak mengundi di DUN Layang-Layang dengan 882 pengundi berdaftar di Sek Keb LKTP Layang-Layang hari ini.

Ab Mutalalip berdepan tiga saingan termasuk calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, K Alagathiran dari Perikatan Nasional (PN) dan Ahmad Shafie Othaman dari parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Untuk makluman, DUN Layang-Layang yang berada di bawah Parlimen Simpang Renggam selain DUN Machap sebelum ini telah dimenangi dengan undian tipis oleh BN iaitu 47 peratus pada PRU-14.

Pada PRU lepas, kerusi ini dimenangi oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga mantan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor menang dengan undian 364 undi majoriti mengalahkan calon PH, MS Murugan.

Onn Hafiz kali ini bertanding di DUN Machap manakala Ab Mutalip pula yang berpengalaman sebagai Adun sepenggal di Layang-Layang kini kembali mewakili BN.

Pada 23 Januari, SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 selepas kedudukan majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang iaitu PH, berikutan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Seterusnya, pada 9 Februari lalu SPR menetapkan 12 Mac iaitu hari ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast