Gelagat pengundi, Lukman Mat Yusof di pusat mengundi DUN Jementah yang hadir untuk membuang undi pada saat-saat akhir pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Kebangsaan Jementah, Segamat, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

SEGAMAT – Seorang pemandu lori sanggup meredah perjalanan lebih 180 kilometer dari Kuantan, Pahang demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi sempena Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) Johor.

Lukman Mat Yusof, 29, tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah untuk mengundi pada pukul 5.51 petang dengan turut ditemani oleh kedua ibu bapanya.

Jelas Lukman, dia berasa lega apabila sempat tiba di pusat mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah itu sebelum ia ditutup pada pukul 6 petang.

“Sebenarnya saya kejar waktu kerana baru sahaja tiba dari Kuantan dan terus ke sini.

“Tadi pun saya terpaksa berlari kerana petugas di pintu pagar hadapan beritahu waktu mengundi sudah hampir tamat.

“Apa pun saya lega kerana sudah selesai tunaikan tanggungjawab walaupun dalam keadaan agak tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di SK Jementah di sini, hari ini.

Mandy Chew selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Jementah, Segamat, Johor selepas nyaris terlepas peluang kerana tertinggal kad pengenalan di rumah. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Mandy Chew, 34, berkata, dia hampir terlepas peluang untuk mengundi sempena PRN Johor gara-gara tertinggal kad pengenalan di rumah.

Jelas suri rumah itu, dia hanya menyedari tertinggal kad pengenalan apabila tiba di hadapan pusat mengundi.

Chew yang ditemani oleh suaminya itu menjadi pengundi terakhir yang tiba pada pukul 5.55 petang.

“Sebenarnya saya dah sampai sini pukul 5.30 petang tapi apabila saya periksa dompet rupanya kad pengenalan tertinggal di rumah.

“Jadi suami terpaksa berpatah balik ke kediaman kami di Taman Pelangi yang terletak kira-kira 10 minit dari pusat pengundian ini,” ujarnya.

Tambah Chew, walaupun agak lewat tiga di pusat mengundi namun dia berasa lega kerana sempat untuk memangkah undi dan keluar semula sebelum pintu pagar ditutup sepenuhnya oleh petugas.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran telah ditutup lebih awal seperti diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing yang akan ditutup pukul 11 pagi, manakala SKPulau Pemanggil di Mersing pada pukul 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pukul 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pukul 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain ditutup pukul 6 petang.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast