Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isterinya, Puan Sri, Noorainee Abdul Rahman (kiri) membuang undi di pusat mengundi DUN Maharani pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di SMK Seri Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua pengundi di negeri Johor keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, individu yang sudah mendaftar sebagai pemilih pada PRN Johor perlu merebut peluang yang ada dengan menterjemahkan pilihan mereka dalam bentuk undian.

“Saya harap proses pengundian berjalan dengan lancar bermula dari pagi sehingga waktu petang.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yng amat penting kerana kalau peratusan pengundi itu rendah, ia tidak akan mencerminkan hakikat dan realiti sebenar rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan dalam membina sebuah kerajaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini, hari ini.

Muhyiddin yang ditemani isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman tiba kira-kira pukul 9.05 pagi dan selesai mengundi pada pukul 9.16 pagi.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, suasana di pekan Muar juga dilihat sesak dengan kenderaan sejak petang semalam.

“Semalam dikatakan Muar ini sesak, mungkin ramai daripada luar sudah pun balik untuk mengundi.

“Saya harap mereka yang ada dalam daftar pemilih dapat keluar beramai-ramai untuk mengundi sehingga pukul 5 petang hari ini,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, sekiranya peratusan keluar mengundi dapat mencecah di antara 70 hingga 80 peratus maka PN mempunyai peluang yang cerah pada PRN Johor.

“Harapan saya jumlah pengundi yang keluar antara 70-80 peratus dan keputusannya akan menyebelahi PN.

“Saya juga lihat sambutan pada gerakan kempen yang saya pimpin pun cukup bersemangat dan nampak ada minat besar pada PN.

“Apa pun hari ini mereka lah yang dapat menentukan apa sahaja kehendak yang mereka mahu buat, kita akan hormati,” katanya.

Media pada 25 Januari lalu melaporkan, Muhyiddin tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Gambir yang disandangnya sebelum ini pada PRN Johor.

DUN Maharani yang berada di bawah Parlimen Muar menyaksikan pertandingan enam penjuru di antara Noor Hayati Bachok yang merupakan penyandang dan juga calon dari Pakatan Harapan dengan calon dari Parti Bangsa Malaysia, Hanis Asmui; Noor Farah Shamsudin (BN), Abdul Aziz Talib (PN), Riad Ahmad (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon bebas, Lim Kim Joo. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast