Pengundi-pengundi muda mengimbas MySejahtera di pintu masuk pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bagan dekat Semerah di sini.

BATU PAHAT – Berdebar-debar, gembira dan takut.

Itu antara perasaan pengundi-pengundi muda yang buat pertama kali keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, meskipun ia pengalaman pertama namun peluang untuk memilih tidak harus disia-siakan dan wajar dimanfaat dengan sebaik mungkin.

Seorang pengundi muda, Nurul Ain Azmi, 19, mengakui takut untuk membuat keputusan ketika berdepan dengan kertas undi.

Katanya, dia bimbang sekiranya membuat kesilapan dalam memilih kerana sengsaranya akan ditanggung kemudian hari.

“Mula-mula memang saya rasa takut nak memangkah (mengundi), tapi saya memang dah tahu siapa calon pilihan yang akan saya undi.

“Saya harap keputusan yang saya buat tepat dan mahu jika calon itu menang dia akan tunai segala yang dijanjikan macam yang saya dengar dalam ceramahnya di Facebook,” katanya.

Nurul Ain Azmi

Bagi Nurul Syawalni Nabila Rosli, 21, pula, dia turut merasa berdebar ketika hendak memangkah kertas undi.

Katanya, banyak perkara didengar sebelum ini menerusi media massa dan media sosial mengenai parti-parti politik, namun, sebagai rakyat Malaysia tidak ada pilihan lain selain membuat keputsuan memilih pemimpin di kertas undi.

“Memang ada rasa berdebar, itu tidak saya nafikan.

“Saya mengikuti perkembangan calon yang hendak dipilih dan pagi ini tanpa ragu saya memilih untuk undi dia,” ujarnya.

Nurul Syawalni Nabila Rosli

Sementara itu, seorang pengundi, Mohd Haswan Jasman berkata, dia dan bapanya akhirnya dapat mengundi pagi ini meskipun ada berlaku sedikit kekecohan di pusat mengundi.

Kataya, ia terjadi apabila petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bagan tidak mebenarkan dia dan bapanya masuk kerana menghadapi masalah dengan aplikasi MySejahtera.

“Aplikasi Mysejahtera saya ada masalah tak boleh nak papar, bapa saya pula memang tidak ada telefon bimbit adi pegawai SPR tak benarkan kami masuk.

“Mujurlah selepas itu ada seorang pegawai datang dan meminta kami menulis butiran diri di dalam buku yang disediakan sebagai rekod,” ujarnya.

Mohd Haswan Jasman

DUN Semerah menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Barisan Nasional mencalonkan Mohd Fared Khaled; menampilkan Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi (Putra); Datuk Ariss Samsudin (PN); Mahdzir Ibrahim (Pejuang) dan calon yang juga penyandang dari Parti Keadilan Rakyat, Mohd Khuzzan Abu Bakar .

Pada PRU14, Khuzzan menang di kerusi DUN Semerah dengan majoriti tipis 98 undi menewaskan calon BN, Mohd Ismail Roslan dan calon Pas, Ustaz Wan. – MalaysiaGazette
– MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast