Home Nasional Peti undi dari Pulau Aur dan Sepanggil selamat mendarat

Peti undi dari Pulau Aur dan Sepanggil selamat mendarat

MERSING – Sebuah helikopter khas yang digunakan untuk membawa kedua-dua peti kertas undi dari Pulau Pemanggil dan Balai Raya Pulau Aur di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh tiba di sini jam 3.30 petang tadi.

Proses mengundi di dua kawasan itu selesai 2 petang tadi.

Sebaik sahaja selesai, para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa dua beg kuning berisi kertas undi dan kelengkapan undi dari pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Pulau Pemanggil serta Balai Raya Pulau Aur dengan menggunakan helikopter ke Pusat Penjumlahan Kertas Undi di Politeknik Mersing.

Petugas SPR itu diiringi dua anggota polis kemudian menaiki dua buah kereta Perodua Myvi berasingan lalu meninggalkan tempat itu.

Seramai 281 pengundi di Pulau Aur dan Pemanggil melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.

Manakala penghantaran kertas undi melibatkan tiga pulau iaitu Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Besar dengan membabitkan seramai 413 pengundi menggunakan bot.

Dalam pada itu, satu lagi helikopter khas juga digunakan pihak SPR untuk membawa petugas dan peralatan undi dari Kampung Orang Asli Peta dan Punan di bawah DUN Endau berikutan proses membawa keluar kertas undi dari perkampungan itu mengikut laluan darat akan mengambil masa yang agak lama.

Peti undi dari tiga pulau dibawa menggunakan bot ke pusat penjumlahan undi di Mersing.

 

Terdahulu, urusan mengundi membabitkan pengundi Orang Asli itu melibatkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan Punan dan SK Peta dibuka tepat jam 8 pagi dan ditutup tepat jam 2 petang tadi.

Kedua-dua perkampungan itu membabitkan jumlah pengundi Orang Asli seramai 526 orang hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast