MELAKA – Cubaan tokan dadah mengedar pil kuda dan syabu yang dibawa masuk dari Kelantan hanya bertahan dua bulan selepas diberkas polis ketika mengedar bahan terlarang itu pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek lelaki pekerja kilang berusia 33 tahun dari Kelantan itu ditahan di tepi jalan berhampiran Taman Merdeka, Batu Berendam di sini, pada jam 6.30 petang.

Menurutnya, ketika ditahan suspek dipercayai dalam perjalanan mengedar dadah susulan polis menjumpai 120.54 gram dadah syabu dan 20 biji pil yaba atau dikenali pil kuda dalam seluar dan beg silang suspek.

“Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menyerbu pula rumah suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak di Taman Rumpun Bahagia, Bachang kira-kira jam 8.30 malam hari sama.

“Serbuan menjumpai lagi 774 gram dadah syabu dan 1,650 pil yaba menjadikan keseluruhan rampasan 894.5 gram syabu dan 1,670 pil yaba yang mampu memberi untung bersih RM50,000 kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Superintendan Zulkiflee Rashid

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek yang bekerja kilang dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan bagaimanapun didapati negatif.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula 10 Mac untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut diambil mengikut Seksyen 4 ADB (Perlucuthakkan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita dua motosikalnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam kes ini adalah RM13,000 dan kes kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya. – Malaysiagazette