Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana berjaya memperoleh kemenangan lebih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kemenangan itu sudah diramal sebelum ini kerana sejarah politik Johor adalah kubu kuat UMNO dan BN sejak sekian lama kecuali tewas sedikit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, dengan kemenangan itu, sudah pasti semua pihak ingin melihat sejauhmana janji yang ditaburkan akan ditunai atau dilaksanakan kerajaan BN.

“Putra yang bertanding kali kedua selepas PRN Melaka meletakkan satu calon sahaja bertanding di DUN Semerah.

“DUN ini yang mempunyai sejarah perjuangan Panglima Kiyai Salleh menyaksikan Putra bersaing empat parti besar iaitu BN, PKR, Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Pada awal Putra menerima hakikat amat sukar untuk mendapat kemenangan atau undi yang banyak kerana usia Putra masih di alam remaja yang baru belajar berjalan setelah dua tahun lebih penubuhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan rasmi PRN Johor malam tadi menyaksikan BN menang 40 kerusi DUN, Pakatan Harapan 12 (satu menggunakan logo PKR), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).

Menurut Ibrahim, parti itu dalam tempoh percubaaan dengan situasi serba kekurangan, mengakui terpaksa bersaing dengan parti-parti besar dan yang dipimpin oleh pemimpin besar.

Apa pun, katanya, Putra langsung tidak kecewa kerana parti besar bersama pemimpin besar juga turut tewas dengan teruk walaupun bertanding banyak kerusi.

“Malah, ada yang tidak menang satu kerusi pun, walaupun bendera dan billboard bersepah di merata tempat.

“Begitu juga PN dan PKR. Wajah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikenali sebagai abah, sebagai poster boy PN berada di semua desa, kampung dan bandar juga tewas dengan teruk,” katanya.

Kata beliau, manakala Putra bertanding satu DUN dan tewas tetap senyum lebar tanpa rasa sedikit pun kecewa.

“Malah, kita merasa bangga kerana dalam keadaan serba kekurangan dan daif tetap berjaya masuk gelanggang bagi tujuan kekal berada dalam radar dan pentas politik negara untuk melangkah ke hadapan sebagai wadah yang berani dan cekal walaupun berkayuh dengan lidi.

“Ini membuktikan Putra adalah sebuah parti perjuangan dalam erti kata yang sebenar bukan parti retorik, menang sorak kampung tergadai.

“Putra tampil menongkah arus demi masa depan anak cucu Ketuanan Melayu yang telah banyak kehilangan hak dan porak peranda. Bangsa yang masih bernaung dengan wang ringgit untuk kais pagi makan pagi,” katanya.

Sebab itu, kata beliau, isu yang menyebabkan negara menjadi parah bukan menjadi perhitungan para pengundi atau rakyat kerana yang penting, siapa yang bagi susu untuk hidup hari ini dan esok, bukan persoalan masa depan negara.

Katanya, Putra sedar begitu besar cabaran dan ujian kerana menghadapi PRK, PRN atau PRU memerlukan jentera yang kuat serta untuk kuat mesti ada kewangan yang mencukupi dan disusuli dengan isu yang menyetuh sentimen rakyat.

“Sebagai langkah berjimat cermat, sekadar bertanding satu DUN dengan tujuan berada dalam radar politik negara dan memberi saingan baru kepada parti besar, Putra hanya berbelanja amat sedikit sahaja dan tidak termasuk wang pertaruhan, hanya untuk logistik bendera, sepanduk, bunting, risalah calon.

“Ceramah dikenakan SOP yang ketat dan dihad sehingga jam 10 malam serta kehadiran tidak lebih dari 100 orang. Kemudian beberapa hari dibenarkan sehingga jam 12 malam.

“Bijak dan licik permainan atas nama ancaman Covid-19 tetapi ianya memberi kesan kepada pergerakan kempen parti yang bertanding. Ketakutan rakyat dengan denda RM1,000 menyebabkan rakyat takut untuk hadir mendengar ceramah dibimbangi pula dengan kehadiran polis serta SPR,” katanya.

Apa pun, Putra tetap berpendapat bila tiba PRU15 nanti, keadaan tidak sama dengan PRN atau PRK.

Kemenangan BN di PRN Johor dan Melaka tidak semestinya merupakan trend atau menjadikan keputusan yang sama seperti PRN atau PRK.

Katanya, ada banyak sebab kenapa PRN dan PRU sangat berbeza dan tidak harus parti politik merasa kecewa atau cemas kerana yang penting fokus kepada PRU15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast