Ahmad Khuzaimi Piee

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC Ahmad Khuzaimi Piee disenaraikan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula hari ini menjelang kunjungan ke Singapura minggu depan bagi menghadapi saingan Siri Tiga-Negara FAS 2022.

Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon berkata Ahmad Khuzaimi, yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia dipanggil melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari yang memohon pengecualian.

“Permohonan pengecualian itu dibuat (Syahmi) susulan kelahiran bayi kembar tiganya.

“Perancangan asal adalah bagi menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali menolak pelawaan tersebut,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan membuat keputusan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri.

“Bagi pihak FAM, pengurusan pasukan kebangsaan dalam pada itu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syahmi seisi keluarga atas kelahiran ini,” katanya.- BERNAMA