Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelaksanaan tiga projek mega melibatkan projek Keretapi Api Berkelajuan Tinggi (HRS), Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura serta Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kemajuan kerja untuk projek RTS telah mencapai hampir 10 peratus di mana proses pengambilan tanah telah selesai dan rekabentuk infrastruktur juga dimuktamadkan.

Katanya, pada masa ini kerja tanah, pengalihan utiliti serta kerja cerucuk sedang dilaksanakan.

“Bagi projek HSR pula, kementerian diberikan tanggungjawab untuk memulakan perbincangan bersama kerajaan Singapura mengikut terma baharu dan perbincangan masih di peringkat awal.

“Pada masa ini, kementerian sedang bersiap sedia untuk mengadakan perbincangan awal dengan Singapura pada suku tahun kedua,” katanya menggulung perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja di Parlimen petang ini.

Kata Ka Siong, kerajaan juga sedang meneroka kemungkinan mengadakan kajian kebolehlaksanaan HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok selaras dengan hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu 25 Februari lalu.

Berkaitan Projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor Bahru, Ka Sing berkata, kemajuan fizikal pada masa sekarang adalah 82.5 peratus berbanding jadual sebanyak 85.2 peratus.

Kata beliau, bagi projek ETS untuk jajaran Gemas-Johor Bahru, Kementerian Pengangkutan dalam proses memuktamadkan kajian reka bentuk akhir yang dijangka selesai pada akhir Mac ini dan perolehan set ETS September 2024.

Mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi supaya kerajaan mengembalikan stesen yang telah digugurkan daripada senarai, beliau berkata, semakan semula jajaran untuk Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini, di mana jumlah serta lokasi stesen di Kelantan telahpun dimuktamadkan.

Kata Ka Siong, pemilihan stesen ditentukan oleh pelbagai faktor seperti kos pembinaan, populasi, ketersambungan dengan mod pengangkutan lain, fungsi stesen (sama ada untuk kargo atau penumpang) dan sebagainya.

“Oleh kerana projek ini turut melibatkan pembiayaan antarabangsa, maka projek ECRL perlu dilaksanakan berdasarkan kelulusan ini.

“Kita komited untuk memastikan kesalinghubungan rel di negara ini dan akan menumpukan kepada perkara ini selepas projek ECRL disiapkan.

“Pelaksanaannya kelak tertakluk kepada keupayaan kewangan negara pada masa tersebut,” katanya.

Mengenai isu lori kontena dari Thailand Selatan yang menyeberangi sempadan untuk ke depot simpanan menggunakan laluan jalan pintas dan mengancam nyawa penduduk setempat, katanya, peraturan hanya membenarkan kemasukan kenderaan itu untuk jarak dua kilometer sahaja.

Namun, ujar beliau, perkembangan pembangunan kawasan sekitar telah menyaksikan terdapat depo kontena termasuk di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam ini terletak melebihi jarak asal yang dibenarkan.

“Dalam hal ini, kementerian memandang serius perkara ini, terutamanya aspek keselamatan dan perlindungan rakyat tempatan di kawasan perumahan terlibat serta pengguna jalan raya yang lain.

“Masalah besar akan timbul sekiranya tindak-tanduk pemandu lori Thailand yang memasuki kawasan perumahan menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

“Oleh itu, kementerian sedang mengkaji dengan lebih terperinci sama ada terdapat kesesuaian untuk kita menimbangkan permohonan ini atau terdapat kaedah lain yang boleh kita laksanakan memandangkan perkara ini akan melibatkan tindakan timbal balik daripada pihak Thailand, kesan kepada syarikat tempatan dan aspek keselamatan orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette