Mohd Dendera Billah Zamzuri

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang menawarkan lima teras utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menampilkan 43 inisiatif bagi menjamin kesejahteraan serta kestabilan negeri antara faktor kemenangan parti itu pada 12 Mac lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, rakyat mula menyedari hanya BN mampu membawa kestabilan ekonomi ketika rakyat masih terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu.

“Perkara pokok isu berkaitan dengan denyut nadi rakyat kini kembali dirasai di Johor yang memperlihatkan BN berjaya memperolehi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

“Selepas dunia diuji dengan pandemik Covid-19, rakyat sudah mulai merasai keperitan kehidupan dari sudut perkembangan ekonomi dan keupayaan untuk mendapat peluang pekerjaan.

“Manifesto yang ditawarkan BN dalam PRN Johor merangkumi lima teras utama dan melibatkan isu-isu asas terbukti bukan retorik politik semata-mata,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Antara lima teras Ikhtiar BN dalam PRN Johor merangkumi Ikhtiar Kemajuan Ekonomi, Ikhtiar Kesejahteraan Rakyat, Ikhtiar Orang Muda Johor (OMJ), Ikhtiar Membudayakan Pentadbiran Berintegriti dan Ikhtiar Reformasi Politik.

Terdahulu, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Keputusan PRN Johor menyaksikan BN berjaya menewaskan pencabar lain iaitu Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) 3; manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

PRN Johor perlu diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Johor penggal ke-14 daripada Yang Dipertua DUN Johor, Suhaizan Kaiat, pada 23 Januari lalu.

Selain itu, Dendera Billah tidak menafikan kelemahan pentadbiran Kerajaan PH dan Kerajaan PN tidak mempunyai pelan pemulihan negara yang tersusun menyebabkan rakyat semakin gusar, sekali gus menolak mereka pada 12 Mac lalu.

“Paling getir apabila kita semua dapat melihat bagaimana hutang negara meningkat sehingga RM957.3 bilion atau 62.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Namun kesemua perbelanjaan negara itu tidak dapat dirasai oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kelemahan ph rekaan Mahadir sebenarnya . Manifesto bukan kitab suci . Musang pakai bulu ayam masuk reban berkokok macam ayam . Bila hajat tercapai dia terus lari sembunyikan diri .

Comments are closed.