MELAKA – “Sebagai penerima sulung anugerah, saya terharu kerana universiti teknikal ternama ini turut mengiktiraf produk tahfiz dan saya hadiahkan anugerah ini buat arwah ayah yang beriya-iya mahu melihat saya menjadi huffaz,”
Itu nada sebak diluahkan Muhammad Hafizuddin Mansor, 24, penerima Anugerah Khas Huffaz Profesional yang pertama kalinya dianugerahkan pada Majlis Konvokesyen Ke-17 di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal hari ini.
Bekas pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar (MITIB), Kuala Langat, Selangor itu berkata, lebih bermakna apabila dia dapat menyempurnakan impian arwah ayahnya, Mansor Selamat yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berusia 48 tahun.
“Walaupun sudah menghabiskan hafazan 30 juzuk al-Quran di MITIB sebelum ini, saya berdepan cabaran apabila ayah meninggal dunia ketika saya berada di tahun pertama mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian di UTeM.
“Namun, pesanan ayah agar saya mengejar kejayaan dunia dan akhirat menjadi kekuatan saya selain doa dan dorongan ibu, Siti Ruslindah Ri’pengah, 50,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, anak sulung daripada empat beradik itu adalah antara 3,275 orang graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada istiadat Konvokesyen Ke-17 UTeM yang diadakan selama empat hari melibatkan lapan sesi sehingga Khamis ini.
Anugerah hari ini disampaikan Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr Zulkifilie Ibrahim.
Mengulas lanjut Muhammad Hafizuddin berkata, langkah UTeM mengiktiraf produk tahfiz di universiti teknikal dilihat satu pembaharuan yang baik dan meningkatkan lagi kewibawaannya sebagai institusi ternama negara.
“Program huffaz di UTeM dengan kerjasama Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini nyata bertepatan dengan
usaha kerajaan untuk melahirkan cendikiawan yang berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam.
“Malah, silibus pengajian juga tidak mengganggu dengan kurikulum ditetapkan UTeM melalui pembahagian masa hanya waktu awal pagi dan selepas Maghrib digunakan untuk masa hafazan,” katanya. – MalaysiaGazette