GEORGE TOWN – Pergerakan Wanita UMNO akan membawa usul kuota 30 peratus kerusi untuk wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang akan berlangsung mulai esok.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya akan memperjuangkan usul pengagihan kerusi buat wanita susulan golongan itu dilihat layak menjadi pemimpin.
Jelas beliau, kemenangan wanita dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu yang mana hanya satu kerusi ditandingi wanita kalah manakala selebihnya mendapat mandat daripada rakyat negeri itu.
“Daripada sini kita dapat lihat wanita dapat membantu parti untuk mendapat tempat di hati rakyat, sekali gus layak menjadi pemimpin kawasan.
“Kemenangan calon wanita juga membuktikan wanita perlu diberikan kesaksamaan jantina, tambahan pula populasi kita separuh dalam negara ini. Malah, kita juga merupakan ahli paling ramai dalam UMNO iaitu 1.3 juta.
“Jadi saya rasa sudah sampai masa calon wanita diberi mandat kerana peluang kemenangan itu dilihat sangat cerah. Sehubungan itu, kita akan bawa usul 30 peratus kerusi untuk wanita pada PRU-15 dalam persidangan PAU kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan pelajar menerusi program Back To School 2022 anjuran UDA di Dewan KOMCA, Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.
Hampir RM100,000 disumbangkan menerusi program tersebut kepada 660 pelajar sekitar negeri ini.
Tambah Norliza, pihaknya juga merayu agar pucuk pimpinan UMNO memberikan keutamaan dan meletakkan calon wanita di kerusi yang sesuai pada PRU15.
“Isu kerusi untuk calon wanita ini sudah lama dan Alhamdulillah kali ini pucuk pimpinan sudah mula sedar peluang kemenangan buat calon wanita sangat cerah,” ujar beliau.
Barisan Nasional (BN) meletakkan 14 calon wanita pada PRN Johor.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peningkatan bilangan calon wanita yang diumumkan BN untuk bertanding pada PRN Johor menunjukkan parti itu semakin yakin dengan kemampuan wanita menyumbang kepada kemenangan parti. – MalaysiaGazette