Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan telah membuat kajian kebolehlaksanaan teknikal projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Beliau berkata, hasil kajian itu, cadangan jajaran terkini bagi projek berkenaan adalah sebuah lingkaran sepanjang 51 kilometer, iaitu 39 kilometer melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 12 kilometer lagi di Selangor.

Projek MRT3 itu, kata beliau, adalah sebuah laluan lingkaran yang meliputi perimeter luar bandar raya Kuala Lumpur dan sebahagian kawasan berpenduduk padat di kawasan Ampang Jaya, Selangor.

“Laluan lingkaran ini akan merentasi rangkaian rel sedia ada, termasuk laluan MRT1, MRT2, LRT, Monorel dan KTM Komuter untuk membentuk 10 stesen pertukaran baharu.

“Ini supaya sistem rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang lebih menyeluruh, berkesinambungan dan efisien,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen pagi ini.

Ka Siong berkata, sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan jajaran itu merupakan laluan bertingkat, manakala 20 peratus lagi laluan bawah tanah.

Kata beliau, projek MRT3 dirancang untuk dimulakan tender pada tahun 2022 melalui lima pakej utama dalam tempoh enam hingga lapan tahun.

“Laluan ini dirancang untuk beroperasi secara berfasa, di mana fasa pertama akan dibuka seawal Disember 2028 tertakluk kepada proses pengambilan tanah.

“Keseluruhan jajaran dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2030. Projek ini akan dibiayai secara hibrid yang melibatkan sumber-sumber pembiayaan seperti sukuk bersama jaminan kerajaan dan juga pembiayaan secara bayaran tertangguh,” katanya.

Beliau berkata, projek MRT di Lembah Klang adalah antara projek infra rakyat berskala besar yang dilaksanakan kerajaan bagi tujuan mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang cekap, berkesan dan selamat.

Di samping itu, ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, sekali gus melengkapkan jaringan rel metro di Lembah Klang. – MalaysiaGazette