GEORGE TOWN – “Isu bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan biar peringkat atas yang membahaskannya,” demikian tegas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Jelas beliau, pihaknya yakin Mesyuarat Tertinggi UMNO akan membuat keputusan terbaik demi parti berhubung isu PRU15.
“Wanita akan bawa usul lain daripada bila PRU15 akan diadakan untuk dibahaskan dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Kita akan bermesyuarat untuk menentukan isu apa yang akan dibahas nanti dan dalam masa sama kita akan bawa usul UMNO menerapkan kembali jati diri parti.
“Kita mahukan ahli parti yang lebih komited, setia pada parti dan tidak mahu ada antaranya ‘lompat’ sana sini.
”Jadi isu jati diri itu harus dititikberatkan supaya dapat membantu bagi mendapat tempat di hati rakyat. Selain itu, wanita juga mahu menjadi nadi dan suara kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan pelajar menerusi program Back To School 2022 anjuran UDA di Dewan KOMCA, Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.
Hampir RM100,000 disumbangkan menerusi program tersebut kepada 660 pelajar sekitar negeri ini. – MalaysiaGazette