Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid merasmikan pelancaran Emergency Panic Button Peringkat IPD Melaka Tengah hari ini.

MELAKA – Polis menyediakan butang kecemasan (panic button) di Jonker Walk dalam usaha memberi tindak balas pantas kepada mangsa jenayah di kawasan tumpuan pelancong itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid berkata, buat permulaan, sebanyak tiga butang alat penggera itu dipasang di tiang sekitar kawasan terbabit yang menyasarkan waktu tindak balas polis kurang daripada tujuh minit.

“Sebagai permulaan kita pasang tiga dahulu yang mana kita akan berusaha memberi respons pertolongan dalam masa kurang tujuh minit.

“Akan datang, kita jangka penambahan lima lagi butang ini menjelang Jun hasil inisiatif pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dengan kerjasama penuh syarikat Code 7 Tech Sdn. Bhd.

“Setakat ini tiga butang yang dipasang adalah di persimpangan Jalan Hang Kasturi, bersebelahan Smart Hotel dan di Taman Antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Emergency Panic Button Peringkat IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, butang penggera itu akan mengeluarkan bunyi siren dan signal yang akan diterima Balai Polis Pelancong Jonker Walk.

“Seterusnya, pasukan skuad rondaan berbasikal unit polis pelancong, unit rondaan bermotosikal (URB) dan Skuad Taming Sari (STS) akan bertindak menggunakan motosikal scrambler.

“Sekiranya inisiatif ini berkesan, kita akan cadangkan kepada Ketua Polis Negara agar sistem ini turut dilaksanakan di negeri-negeri lain,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast