KUALA LUMPUR – Penyerang Skuad Projek FAM-MSN, Muhammad Haikal Sahar mengharapkan jaringan hatrik yang dilakukan dalam aksi pusingan pertama Piala FA semalam mampu membuktikan kualiti yang ada pada dirinya untuk bergerak lebih jauh.
Meskipun skuad Projek FAM-MSN kehilangan penyerang berbisa, Azhad Harraz Arman yang kini bersama Sabah FC, tetapi pasukan ini nyata masih mempunyai barisan pemain lain yang turut mampu menyerlah pada musim ini.
Ini terbukti apabila Haikal berjaya mencuri tumpuan dengan tiga jaringan menarik yang dilakukan untuk membantu pasukan menang ke atas Tok Janggut Warrios FC dengan keputusan 5-1.
Jelas pemain berusia 19 tahun ini, misinya sudah pasti untuk turut sama mengikut jejak langkah Azhad yang kini bersama pasukan Liga Super sambil berazam ingin meledak lebih banyak jaringan selepas ini.
“Ini rezeki doa daripada ibu bapa, sokongan daripada rakan sepasukan juga dan walaupun saya baru pulih selepas positif Covid-19 tempoh hari, memang ada rasa lemah sikit tapi lama-lama dah dapat balik kecergasan.
“Azam saya bukan untuk menjaringkan gol sahaja tetapi saya nak tunjukkan yang walaupun saya masih muda tapi saya boleh beraksi dengan cemerlang.
“Saya kalau boleh nak pergi lebih jauh dan kalau ada rezeki Insya-Allah mungkin selepas ini dapat mencuri tumpuan dengan lebih cemerlang,” jelasnya.
Pengendalinya, Hassan Sazali Waras bagaimanapun memberi pujian kepada keseluruhan pasukan dalam usaha memburu kemenangan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.
Namun dia enggan meletakkan sasaran untuk menjaringkan gol ke atas bahu seorang penyerang semata-mata dan mengharapkan pemain lain juga turut sama mampu meledak jaringan tidak kira di posisi mana sekalipun.
“Mungkin dengan jaringan hatrik yang dilakukan Haikal dapat memberi sokongan dan dorongan kepada pemain lain untuk mereka pun menjaringkan gol pada aksi akan datang.
“Kita dalam pasukan tidak akan mengharapkan kepada seseorang individu sahaja melakukan gol dan kalau kita tengok penjaring gol kelima (Ubaidullah Shamsul) bukanlah penyerang tetapi dia juga mampu meledak gol.
“Jadi dekat sini, saya tekankan semua pemain boleh menjaringkan gol selepas ini dan kemenangan ini akan menjadi tonik terbaik kepada mereka untuk aksi-aksi akan datang”, katanya.
Seterusnya, Skuad Projek FAM-MSN akan berdepan Kelantan FC pada Jumaat ini dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. – MalaysiaGazette