GEORGE TOWN – Kerja pembinaan perumahan bertingkat di Lebuh Katz, di sini, dihentikan serta-merta, selepas tapak pembinaan itu diarahkan tutup susulan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Pengarah CIDB Pulau Pinang, Zahidi Hashim berkata, serbuan jam 9.30 pagi itu dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan terhadap operasi tapak pembinaan berkenaan baru-baru ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati seramai 18 daripada 35 pekerja yang diperiksa tidak mempunyai kad personel binaan atau kad hijau.
“Manakala 15 pekerja pula merupakan pemegang kad berstatus Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang mana tidak boleh bekerja di tapak pembinaan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.
Operasi tersebut turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Tambah Zahidi, hasil siasatan lanjut juga mendapati projek berkenaan diisytiharkan berjumlah RM33 juta namun semakan pihaknya mendapati ia menelan kos lebih RM70 juta.
Jelas beliau, berikutan pelbagai kesalahan dikesan, tapak pembinaan itu diarahkan tutup sehingga pihak kontraktor mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Maka dalam tempoh masa itu mereka tidak dibenarkan buat apa-apa aktiviti di tapak pembinaan ini.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 34B (1)(b) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan) 2011.
“Selain itu, kita juga ingatkan kepada semua kontraktor agar mematuhi undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan demi kepentingan bersama,” kata beliau. – MalaysiaGazette