Former Prime Minister, Datuk Seri Najib Tun Razak arrives at the Palace of Justice, Putrajaya for the appeal of his SRC International Sdn Bhd misappropriation trial. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 16 MARCH 2022 adduce fresh evidence Zeti Aziz
Former Prime Minister, Datuk Seri Najib Tun Razak arrives at the Palace of Justice, Putrajaya for the appeal of his SRC International Sdn Bhd misappropriation trial. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 16 MARCH 2022. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini sebulat suara menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. (SRC).

Keputusan itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama empat lagi panel hakim memutuskan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri itu kekal.

Kata Tengku Maimunah, pihaknya mendapati tidak ada sebarang kekhilafan dibuat oleh Mahkamah Rayuan ketika menolak permohonan tersebut sebelum ini.

“Kita sebulat suara mendapati Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul, tiada sebarang kekhilafan dan tiada sebarang kesalahan untuk keputusan tersebut dirayu,” katanya petang ini.

Selain Tengku Maimun, turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh.

Kata Tengku Maimun, pihaknya juga telah memberikan masa secukupnya untuk pasukan pembelaan Najib berhujah di Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Hak perayu tidak diprejudiskan sebaliknya mahkamah sudah menggunakan budi bicaranya untuk mendengar permohonan itu.

“Dengan ini mahkamah menolak permohonan ini,” ujarnya.

Pada November 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperoleh semula selepas Kerajaan Singapura memulangkan AS$15.4 juta kepada kerajaan Malaysia yang mana wang tersebut mempunyai kaitan dengan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Justeru itu, Najib dalam permohonan rayuan memohon untuk memasukkan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International yang telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun selain denda RM210 juta ke atas beliau.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ingin memasukkan penglibatan Zeti yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International.

Namun Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu dengan alasan beliau gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman bahawa bukti baharu diperlukan demi keadilan dalam kes tersebut.

Ini menyebabkan mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada 7 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima. -MalaysiaGazette